
Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang berlangsung semalam berjaya mencapai banyak kemajuan dalam pengurusan negara.
Dalam catatan di Facebooknya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berpuas hati dengan hasil mesyuarat MPFN yang melibatkan pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Negeri itu.
"Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sekaligus memudahkan urusan perniagaan (ease of doing business).
"Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara," katanya.

Selain mempermudah urusan menjalankan perniagaan, mesyuarat itu juga membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara. Dalam hal tersebut, penekanan diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian.
"MPFN berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam.
"Prosedur OSC 3.0 Plus ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan ketimbang 19 agensi sebelum ini. Manakala, tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari," katanya.
Di samping itu, mesyuarat turut cakna tentang isu banjir kilat yang sering meresahkan rakyat. Maka, dalam hal berkenaan Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat.
Tambah Amwar, MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni.
Mesyuarat tersebut disertai menteri Besar dan Ketua menteri setiap negeri. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Mohd Nor juga hadir yang menepis dakwaan Pas sebelum ini MB itu diketepikan oleh Kerajaan Persekutuan.