Mansuh Darurat tergesa-gesa, Ku Li tukar tempat duduk, tanda PN hilang sokongan - Syed Ibrahim
- Redzuan Shamsudin
- Jul 28, 2021
- 1 min read

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi boleh berselindung dan menafikan mereka telah kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen.
Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh tindakan kerajaan PN secara tergesa-gesa memansuhkan Ordinan Darurat tanpa melalui undian di Parlimen, sebagaimana diumumkan oleh Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyudin Hassan kelmarin merupakan suatu indikator penting dalam mengukur ketakutan pemerintah.
Hal itu, katanya bertambah jelas apabila Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memohon kepada Speaker Dewan Rakyat untuk duduk di kerusi Bebas dan secara nyata menolak menggabungkan diri bersama kerajaan PN.
"Ramai yang sebut bahawa kerajaan ini rapuh dan kehilangan sokongan majoriti. Isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa pengesahan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong mahupun Parlimen menambahkan tanda tanya. Apakah kerajaan PN tidak yakin untuk undian dibuat di Parlimen?
"Tambahan pula, Ahli Parlimen Gua Musang telah minta beralih tempat duduk sebagai Bebas dan bukan di sebelah kerajaan. Ura-ura juga timbul beberapa orang Ahli Parlimen Umno lain juga mohon beralih tempat duduk," katanya kepada Suara Keadilan.
Justeru itu, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor mengingatkan Speaker Datuk Azhar Azizan Harun agar tidak menghalang serta mempermudahkan mana-mana Ahli Parlimen Umno untuk menukar tempat duduk selepas ini.
Katanya, jika lebih banyak Ahli Parlimen Umno berbuat demikian maka kerajaan dikira goyah dan perlu dilakukan Undi Tidak Percaya bagi menentukan nasib Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.
"Dalam hal ini Yang Dipertua (Azhar) wajar uruskan (pertukaran kerusi) tanpa memerlukan apa-apa pengesahan selain oleh Ahli Parlimen yang memohon.
"Meskipun ini mungkin dilihat remeh, beralih tempat duduk, tetapi ia satu tamparan dan bukti kerapuhan kerajaan PN dan PM," katanya lagi.
Comments