Malaysia bakal jadi negara tua, dasar perlindungan warga emas ketinggalan zaman


Dasar pelindungan warga emas kebangsaan disifatkan ketinggalan zaman apabila tidak mampu menjamin kesihatan yang baik kepada golongan itu yang paling terjejas diserang pendemik Covid 19.


Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Pelan Strategik KPWKM 2021 – 2025 yang diumumkan oleh Datuk Menteri Rina harun baru-baru ini amat mengecewakan.


Katanya, kerajaan perlu mewujudkan sebuah ekosistem yang profesional dalam industri perkhidmatan penjagaan kesihatan serta kesejahteraan sosial warga emas dan mengambil kira perubahan keperluan warga emas yang terdampak akibat pandemik Covid-19.


"Menurut beberapa kajian penyelidikan antarabangsa yang dijalankan selepas wabak Covid-19, cadangan pembangunan model perkhidmatan penjagaan warga emas di rumah (Home Care) menjadi makin popular dalam pilihan masa depan berbanding pusat penjagaan berkumpulan.


"Hal ini kerana kematian penghuni warga emas di pusat penjagaan warga emas meningkat dengan mendadak akibat jangkitan Covid-19 telah menonjolkan kelemahannya iaitu mudah menjadi inkubator virus," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut bekas Pengurus Program Warga Emas Chinese Welfare Services of South Australia Inc itu lagi, beberapa faktor yang menyebabkan penghuni warga emas lebih mudah terdedah kepada virus termasuklah kekurangan penjaga, kekurangan kakitangan profesional kesihatan dan kekurangan peralatan perlindungan peribadi asas akibat kekangan kewangan di pusat jagaan, penjarakkan fisikal tidak dapat dilaksanankan akibat kesempitan ruang di pusat jagaan, tiada jururawat berdaftar (RN) bagi mewujud dan memantau prosedur menangani wabak.


Oleh itu, beliau menyarankan 5 dasar utama harus diperkenalkan dalam dasar penjagaan warga emas di Malaysia.


"Pertama, meningkatkan taraf kelengkapan fizikal, tenaga kerja kesihatan dan sosial yang profesional di pusat penjagaan warga emas

"Dasar Pusat penjagaan warga emas perlu dilengkapkan dengan unsur penjagaan kesihatan profesional dengan menempatkan sekurang – kurangnya jururawat berdaftar (RN) bekerja di pusat berkenaan


"Di samping itu, menurut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 dalam penerbitan “Home Health Care for the Elderly”, penjagaan kesihatan di rumah merupakan pilihan warga emas utama untuk mendiami rumah mereka dengan berdikari dan menua di komuniti.


"Pada hakikatnya, pembangunan model perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial warga emas di rumah merupakan suatu langkah yang membolehkan warga emas berdikari selama mungkin dan melambatkan warga emas menjadi tanggungan kepada ahli keluarga atau masyarakat," katanya.


Selain itu, kata Ker Chean, KPWKM perlu mengkaji cara penambahbaikan “Program Khidmat Bantu di rumah” yang dilaksanakan sejak 2012 kepada program yang lebih holistik dan menyeluruh.


Bagi beliau, seharusnya “Pakej Khidmat di Rumah” ini mengandungi perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang bukan sekadar bergantung kepada khidmat sukarelawan sahaja.

Katanya, merujuk kepada Belanjawan 2021, kapasiti program ini hanyalah sekitar 8000 klien warga emas berbanding dengan 3.5 juta warga emas di Malaysia. Sehingga kini, tiada strategi yang menunjukkan sebarang hasrat kerajaan dalam menambahbaik pembangunan model atau menaikkan kapasiti berkaitan “Program Khidmat Bantu di Rumah” dalam Pelan Strategik 5 tahun ini.


"Dasar ketiga ialah bagi membangunkan sebuah ekosistem perkhidmatan penjagaan warga emas yang holistik. Kerajaan memerlukan pelan bagi melahirkan lebih banyak tenaga kerja yang profesional dan berkualiti. Oleh itu, dasar KPWKM harus meningkatkan kelayakan tahap kemahiran tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan penjagaan warga emas awam dan swasta untuk menjamin kualiti perkhidmatan.

"Walaupun salah satu strategik dalam Pelan Strategik KPWKM termasuk menjadikan perkhidmatan kerja sosial sebagai perkhidmatan yang profesional, tetapi ia hanya menumpukan kepada pembangunan modal insan dalam kementerian dan agensi kerajaan.

"Sebagai contoh, kelayakan tahap pendidikan atau kemahiran jawatan Penyelia Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) sepatutnya ditingkatkan secara berfasa dalam tempoh 5 tahun daripada graduan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia (SKM) dalam sektor perkhidmatan penjagaan warga emas atau kepada graduan ijazah pekerja sosial," katanya.


Dasar keempat, menurut Ker Chean, adalah reformasi institusi kebajikan supaya peranan institusi kebajikan awam lebih kepada menentukan, mengaudit, menggubal dasar dan peraturan serta membentuk program komuniti mengikut objektif, memperkukuhkan industri perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar dan menyediakan peruntukan (grant)

"Keperluan tenaga kerja profesional dilihat amat kritikal bagi menampung pelaksanaan reformasi institusi kebajikan dalam negara. Cara kerjasama antara KPWKM dengan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan, inkorporasi dan sebagainya yang menerusi jabatan dan lembaga harus dikaji semula.

"Kementerian dan jabatan harus memperkukuhkan peranan kerajaan sebagai pentadbir, pembuat dan pelaksana dasar, sistem serta peraturan yang fokus kepada pengauditan pencapaian program – program penghantaran perkhidmatan sosial melalui agensi dan pertubuhan – pertubuhan kebajikan sosial bukan kerajaan.


"Hal ini dapat mengurangkan kemungkinan dalam ketirisan perolehan, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pertubuhan kerajaan," katanya.


Oleh yang demikian, katanya, persaingan wujud antara pertubuhan - pertubuhan kebajikan sosial bukan kerajaan sebagai agen penghantaran perkhidmatan dan sokongan sosial untuk mendapatkan peruntukan (grant) daripada kerajaan.


Dasar menangani isu penuaan juga, katanya, tidak seharusnya “one size fit all” tetapi harus diperhalusi dengan keperluan mengikut kumpulan warga emas yang tua dan lebih tua. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, warga emas berumur 60 – 64 adalah 1.2juta (3.7%) orang manakala 65 ke atas adalah 2.3juta (7%) daripada jumlah populasi pada 2020.


Bagaimanapun, merujuk kepada Pelan Strategik 5 tahun (mukasurat 42), walaupun diisikan dengan wawasan dan visi digitalisasi data warga emas seperti Pembangunan Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional (e-WEN), siapakah yang akan membantu patti tatta, ah gong ah ma, nenek dan atuk yang lebih tua untuk mendaftar sekiranya kerajaan ingin memelihara gaya hidup warga emas yang berdikari?

"Dasar kelima, KPWKM harus mempertimbangkan penyediaan nombor telefon talian sebagai kemudahan asas bagi warga emas mendapat akses kepada maklumat kebajikan warga emas.


"Selain itu, sistem talian tersebut perlu dilengkapkan dengan beberapa pilihan bahasa supaya medium bahasa tidak menjadi halangan bagi warga emas untuk mempraktiskan hak mereka," katanya lagi.

Hak menikmati hari tua, bagi Ker Chean, dengan bermaruah adalah hak asasi semua rakyat dan kerajaan harus mengambil serius tentang semua impak dan perubahan dalam sektor perkhidmatan penjagaan warga emas terutama setelah tercetusnya wabak Covid-19.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER