top of page

Lima langkah rapatkan jurang ketidak samarataan rakyat



Rancangan Malaysia Ke (RMK) 12 akan menumpukan usaha merapatkan jurang ketidaksamarataan rakyat yang tidak pernah diberi fokus menyeluruh dalam mana mana RMK sebelum ini.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) berkata, terdapat lima perkara pokok dikenalpasti dalam usaha untuk merapatkan jurang ketidaksamarataan antara kaum dan intra kaum itu.


"Pertama, langkah segera akan diambil untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial. Sehingga 15 Ogos 2023, Kerajaan masih bertungkus-lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan.


"Justeru, sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar," kata PM di Dewan Rakyat pada sesi pagi.


Menurutnya, Kerajaan juga telah meluncurkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi.


Katanya, sehingga 31 Ogos 2023, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR. Selain

itu, program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, PEKEMAS, TEKUN dan progam-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri


Kerangka pendekatan Ekonomi MADANI pula, katanya akan dilakukan secara merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif.


Namun untuk peruntukan khusus, Kerajaan juga melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat. Untuk etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina juga sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint.


Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), katanya, akan diperkasakan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras.


"Kedua, Kerajaan juga akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan Sistem Perlindungan Sosial.


"Ketiga, semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan Bumiputera dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata.


Selepas lima dasawarsa, pemilikan ini masih belum mencapai sasaran 30% yang ditetapkan. Maka, Ekonomi MADANI melalui Kajian Separuh Penggal RMK12, antaranya akan menilai semula pendekatan untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.


"Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif," kata Anwar.


Selain itu, katanya, syarikat Bumiputera akan terus berpeluang untuk menerima manfaat sokongan pembiayaan daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan kepada 16 agensi Bumiputera, antaranya termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).


"Sokongan pembiayaan ini telah mencecah RM30 bilion sejak tiga Rancangan Malaysia terdahulu.


"Keberkesanan peranan agensi mandat Bumiputera seperti MARA, TERAJU dan EKUINAS akan dipertingkatkan melalui penjajaran semula strategi dan inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera.


"Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwujudkan untuk menambah baik keberkesanan penyaluran bantuan dan sokongan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi. Usaha ini juga akan terus dipertingkatkan dalam membina kredibiliti Agensi Mandat Bumiputera dengan memperkukuh integriti dan tatakelola.


"Dana wakaf pula akan diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf MADANI sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam. Bagi memastikan keberkesanan pengurusan tanah wakaf seluruh negara, Kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif serta menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang mampu menyumbang kepada 20% pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030," katanya.


Manakala teras keempat merupakan kesejahteraan masyarakat desa, termasuk peneroka dan pekebun kecil yang akan terus dibela melalui kajian semula dan pengukuhan fungsi serta peranan agensi berkaitan, terutama FELDA, FELCRA, RISDA dan MARA.


Maka, katanya, Kerajaan memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas dan akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis di semua kawasan FELDA dan di premis Yayasan FELDA di Kelana Jaya.


"Kelima, Kerajaan bertekad untuk menyerlahkan potensi dan meningkatkan kesejahteraan hidup belia.


"Pada suku kedua 2023, kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun berada pada tahap yang membimbangkan, iaitu sebanyak 10.7%.


"Justeru, Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page