Oleh: Abdullah Zaid
Setelah sekian lama menunggu, hasrat penduduk Sarawak memiliki lebuh raya Pan Borneo yang merentasi negeri terbesar di Malaysia itu bakal dicapai menjelang akhir bulan ini.
Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak Roland Engan, menzahirkan kegembiraannya atas komitmen Kerajaaan Perpaduan dalam merealisasikan projek lapan tahun itu.
"KEADILAN Sarawak mengalu-alukan pengumuman bahawa lebuhraya Pan Borneo akan dibuka sepenuhnya kepada orang awam pada hujung tahun 2023.
"Ia adalah berita baik dan menarik serta rakyat akan mendapat manfaat sepenuhnya," katanya.
Justeru, bagi memastikan projek lebuh raya moden tersebut terus dinikmati rakyat Sarawak, Roland menyeru agar kerja-kerja menambahbaik infrastruktur terutama kemudahan tandas awam perlu dipergiatkan lagi.
"Sejajar dengan fokus Kerajaan menambah-baik tandas-tandas sekolah di seluruh negara, alangkah baik sekiranya setiap kawasan P-turn di sepanjang lebuh raya Pan Borneo dilengkapi dengan kemudahan tandas awam, bilik air dan tong sampah untuk keselesaan pengguna lebuhraya ini.
"Hal itu, tinjauan kami mendapati pengguna lebuh raya sangat memerlukan kemudahan tandas awam, bilik air dan tong sampah ini yang masih belum wujud," ujarnya lagi.
Kelmarin, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjangkakan jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi 786 kilometer itu akan dibuka sepenuhnya kepada orang awam menjelang penghujung bulan ini.
Katanya, kemaskini tersebut berdasarkan kemajuan projek yang kini mencapai 98 peratus siap selain 19 daripada 25 seksyen projek lebuh raya tersebut telah pun dibuka kepada orang awam.
Sementara itu, bagi Pan Borneo Sabah pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1 akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
Jelas Perdana Menteri, jajaran Pan Borneo Sabah meliputi 366 kilometer dengan kos RM 15.7 bilion.
Comentários