Laporan polis desak PM Mahiaddin letak jawatan selepas hilang majoriti - GBMRM
- Suara Keadilan
- Jul 25, 2021
- 2 min read

Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin kerana enggan melepaskan jawatan selepas hilang majoriti pada 7 Julai lalu.
Menurut Koordinator GBMRM, Mustapha Mansor Amer Mohd Isa, rakyat harus difahamkan dan menentang tindakan Mahiddin itu yang berkeras berpaut pada kuasa biarpun telah hilang sokongan Ahli-ahli Parlimen untuk kekal sebagai PM.
"Saya ingin garis bawah kenapa rakyat perlu faham mengenai Perlembagaan. Sebab selama bertahun-tahun, terutama di bawah kerajaan Perikatan Nasional, Perlembagaan seperti kertas buruk macam tak ada apa-apa fungsi.
"Saya ambil contoh 1 Mac 2020, ketika itu Pakatan Harapan ada 114 Akuan Berkanun (SD) tetapi pada waktu sama ada majlis angkat sumpah untuk PM baharu. Itu sangat jelas bercanggah dengan Perlembagaan. Juga PM umum darurat dan sekarang baru nak dapatkan kelulusan. Ini bukan 'negara koboi'.
"Kita nak beritahu kepada Perikatan Nasional apa sahaja yang mereka namakan, pemerintahan Islam atau sebagainya, ini bukanlah cara Islam dan bukan juga cara Melayu," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Tambah Mustapha, rakyat Malaysia perlu mendesak Mahiaddin meletak jawatan dengan membuat laporan polis atau sebagainya kerana PM itu tidak lagi berhak berada pada kedudukannya.
"Kita minta kepada seluruh rakyat Malaysia faham apabila bercanggah dengan Perlembagaan negara, Perkara 43 (4), iaitu apabila PM tidak lagi mempunyai sokongan majoriti, maka dia mesti meletak jawatan. PM perlu hormat Perlembagaan tersebut," ujarnya.
Mengenai gerakan Bendera Putih yang dipelopori GBMRM, Mustapha mengulas, gerakan sama juga telah berlaku di Indonesia dan Myanmar.
Bagaimanapun, katanya gerakan di kedua-dua negara itu lebih menumpukan kepada aspek ekonomi apabila rakyat tidak lagi mampu meneruskan kelangsungan hidup dan tidak dipedulikan oleh pemerintah.
"Gerakan Bendera Putih sudah bergerak. Bendera Putih kali ini bukan hanya bantuan makanan, tetapi kita luaskan lagi. Sekiranya ada mana-mana perniagaan yang sudah tidak boleh menjalankan bisnes kita minta mereka naikkan Bendera Putih sebagai solidariti kepada mereka sendiri, pekerja mereka, supaya diberi perhatian oleh pemerintah hari ini.
"Bendera Putih ini sudah mendapat respons dari Indonesia, dari Myanmar. Apabila ada peniaga di Indonesia yang hampir bankrap mereka angkat bendera putih.
"Oleh itu, saya seru rakyat Malaysia jangan malu untuk angkat bendera sebagai tanda solidariti kepada sahabat-sahabat yang sudah pergi, sama ada meninggal dunia akibat Covid 19 atau bunuh diri," katanya lagi.
Comments