top of page

Laman web Selangor Kerjaya dilancar, sediakan 10,000 peluang pekerjaan


Kerajaan Negeri Selangor melancarkan laman web Selangor Kerjaya, salah satu inisiatif bagi menyediakan peluang pekerjaan dan menangani masalah pengangguran di negeri itu.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program itu dibuat berdasarkan ketidakstabilan ekonomi yang menyebabkan kadar pengangguran negara meningkat pada 5.1 peratus suku tahun kedua 2020 berbanding 3.5 peratus suku tahun pertama 2020, dengan kadar pengangguran belia naik kepada 12.5 peratus.


"Malah menurut statistik Perkeso, sebanyak 32 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja yang mendaftarkan kehilangan pekerjaan dilaporkan di negeri Selangor dan ia dijangka terus meningkat.


"Ini amat membimbangkan kita semua," katanya ketika melancarkan Selangor Kerjaya.


Justeru, Amirudin berkata sebuah laman web kerjaya dibangunkan yang akan memaparkan pelbagai maklumat dan boleh diterokai menerusi www.selangorkerjaya.com.my untuk mendaftarkan diri.


"Pendaftaran terbuka kepada tenaga kerja dan majikan yang berminat untuk mendapat tenaga kerja yang menepati permintaan penawaran pekerjaan terbabit di samping dapat memanfaatkan program latihan disediakan untuk membantu tenaga kerja terpilih untuk membina kerjaya mereka.


"Program ini adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM58 juta untuk membuka peluang pekerjaan di negeri Selangor untuk rakyat Selangor.


"Justeru, saya amat berharap agar belia khususnya graduan mengambil peluang membina kerjaya dan memantapkan ekonomi, jangan lepaskan peluang yang tersedia, teruskan berusaha dan bertawakal, insya-Allah kejayaan menjadi milik anda dan kita semua," katanya.


Katanya lagi, pengguna boleh berinteraksi dengan Selangor Kerjaya secara terus di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn, dan Whatsapp.


Pada 13 Julai lalu, kerajaan negeri telah mengumumkan Inisiatif Selangor Kerjaya di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Ke-3 khusus untuk rakyat negeri Selangor bagi menangani isu penawaran pekerjaan.


Amirudin berkata Selangor Kerjaya berupaya untuk menjadi pusat pengumpulan data bersepadu berkaitan permintaan dan penawaran pekerjaan yang boleh dianalisa untuk perancangan strategi komprehensif dalam menyelesaikan masalah ketidakseimbangan kemahiran dan ketidakpadanan pekerjaan buruh di Selangor dengan lebih tepat.


"Ini merupakan program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk menangani isu penawaran pekerjaan pasca Covid-19 di mana keupayaan dibangunkan untuk menyediakan sehingga 10,000 peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran tenaga kerja melalui kaedah profiling, upskilling dan job placement dalam tempoh 3 tahun.


"Sasaran bagi tahun 2021 adalah sebanyak 2,000 peluang pekerjaan baru akan diisi oleh graduan lepasan IPT, pelajar lepasan sekolah menengah termasuk latihan vokasional dan tenaga kerja yang telah diberhentikan," katanya.


Kata Amirudin, tenaga kerja yang berjaya akan melalui program latihan dalam talian yang ditetapkan bersama dengan pihak majikan selama satu tahun bagi mengasah bakat dan kemahiran.


"Mereka juga akan mengalami proses mentoring bagi memastikan tenaga kerja tersebut menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana pekerjaan baru.


"Ini merupakan situasi menang-menang untuk semua pihak iaitu tenaga kerja, majikan dan juga kerajaan negeri dalam menangani isu pengangguran dan penawaran pekerjaan akibat kesan Covid-19," katanya.


Tambah Amirudin, kerajaan negeri Selangor juga mengambil pendekatan untuk merapatkan diri dengan industri aeroangkasa di mana lebih daripada 60 peratus pendapatan disumbangkan oleh syarikat-syarikat besar seperti GE Engine Services Sdn Bhd, Aerobus Malaysia, UMW Aerospace Sdn Bhd yang menjadikan Selangor hab utama bagi aeroangkasa di Malaysia.


Disebabkan itu, kerajaan negeri menganggap industri aeroangkasa merupakan industri bernilai tinggi berdasarkan standard global dengan menyediakan tenaga kerja mengikut keperluan industri, Aeroangkasa Selangor dapat mengekalkan industri aeroangkasa untuk terus berada di Selangor malah terus berkembang di negeri ini.


"Selangor ingin menarik minat industri bernilai tinggi untuk melabur di negeri ini dan menawarkan peluang pekerjaan kemahiran tinggi yang akan menaik taraf upah penggajian tenaga kerja dan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi.


"Justeru, kerajaan negeri akan membangunkan pangkalan data bersepadu termasuk kerangka kemahiran kerjaya dalam industri aeroangkasa agar dapat menyediakan latihan kemahiran yang diperlukan untuk menyokong industri bernilai tinggi dalam menghadapi cabaran pekerjaan abad ke-21.


"Amat jelas matlamat dan sasaran Selangor Kerjaya yang berpotensi akan membantu menyuntik kembali ekonomi Selangor.


"Sektor industri yang terlibat dalam menjayakan program ini juga adalah syarikat-syarikat besar dan ternama yang mempunyai rekod karier positif. Dengan penawaran yang menarik ini, saya yakin ini adalah wadah kerjaya yang terbaik kepada mereka yang memerlukan yang ingin membina kerjaya," katanya.


Justeru, Amirudin berharap program Selangor Kerjaya akan memanfaatkan semua pihak iaitu para belia, majikan, dan kerajaan negeri yang berpeluang mempelbagaikan peluang pekerjaan yang secara tidak langsung menangani masalah pengangguran dalam jangka masa pendek mahupun panjang.


"Maka akan lahirlah ramai tenaga kerja berkemahiran, termasuk aeroangkasa di mana keupayaan tenaga kerja akan menjadikan Selangor lebih menarik kepada pelabur asing.


"Selangor Kerjaya juga akan meransang ekonomi negeri melalui aliran pendapatan baru dan sebagai pemangkin dalam industri bernilai tinggi menjadikan Selangor sebagai 'Regional Smart State menjelang 2025," katanya.



0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page