Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan sebanyak 8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020 selepas perniagaan terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan harga barangan,
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, data kaji selidik yang dilaksanakan KUSKOP sepanjang tempoh 2020 hingga 2022 itu menjelaskan bahawa kesan pandemik dan kenaikan harga barangan menyebabkan usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan mereka.
Katanya, kaji selidik itu turut menyatakan 3.16 peratus usahawan telah gulung tikar pada Jun 2021, diikuti dengan 1.38 peratus pada Februari 2022 dan 2.7 peratus pada November 2022.
"Dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, KUSKOP menerusi agensi di bawahnya melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan dengan menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya skim pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
"Agensi pembiaya di bawah KUSKOP juga mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan serta memendekkan tempoh masa memproses permohonan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah usahawan yang gulung tikar susulan kelembapan ekonomi semasa dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu usahawan terjejas.
Jelas Ewon, kementeriannya setakat ini sedang bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan program intervensi sebagai peluang kedua bagi membantu usahawan yang berdepan masalah kewangan serius dan bakal muflis.
Katanya, pada 2022, seramai 664 orang usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.
Dalam pada itu, Ewon memaklumkan SME Corporation Malaysia (SME Corp) juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Februari 2023 lalu usaha untuk membantu golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara dalam pengurusan dan pendidian kewangan serta kredit.
"Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutamanya dalam era pasca pandemik," ujarnya.
Comments