top of page

Kurangkan kuasa kerajaan pusat: Sabah, Sarawak perlu dapat 40% hasil cukai



Memorandum kerjasama (MoU) antara kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang ditandatangani 13 September lalu mungkin membuka ruang kepada kembalinya semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi laluan pembangunan lebih pesat di kawasan Sabah dan Sarawak.


Bagi Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, sekiranya MA63 dikukuhkan dan hasil cukai yang dipungut Kerajaan Persekutuan di Malaysia Timur dikembalikan 40% daripadanya, maka pembangunan akan rancak di kedua-dua negeri.


"Hal melibatkan percukaian sebagai contoh dalam MA63, 40% hasil pungutan Persekutuan hendaklah dikembalikan kepada Sabah. Kita mahu ini dilaksanakan.


"Tetapi bukan semudah itu, bukan Sabah sahaja. Kita mahu disentralisasikan pengagihan cukai itu kepada negeri lain. Apa salahnya kalau Selangor mahu 10% pungutan cukai Persekutuan dikembalikan ke Selangor?


"Dengan syarat kerajaan Selangor sokong Sabah dapat 40%. Itu kerana ia sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia," katanya dalam temubual bersama Suara Keadilan, baru-baru ini.


Menurut Wilfred lagi, dengan pengembalian cukai berkenaan tidak timbul alasan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membangunkan Malaysia Timur.


Malah beliau menambah, kerajaan Malaysia mungkin boleh meneladani sistem potongan cukai yang diamalkan di wilayah-wilayah di Indonesia untuk mempercepatkan pembangunan di sana sebagai contoh.


"Jadi kalau alasan mengatakan Persekutuan tidak mempunyai dana yang cukup maka itu tidak lagi timbul.


"Kita boleh buat sistem pugutan cukai secara digital sebagaimana dilaksanakan di Indonesia, dari sumber (wilayah) potong terus dan beri. Tidak perlu bawa ke pusat," katanya.


Manakala dari segi pemusatan kuasa, Wilfred mencadangkan agar Putrajaya tidak terlalu mengawal Malaysia Timur.


Katanya, terdapat perkara-perkara yang lebih efisyen sekiranya kuasa pusat dikurangkan dan negeri dibenarkan melaksanakan sebahagian kuasa berkenaan.


Beliau memberi contoh dalam usaha menangani Covid yang sewajarnya kuasa Kementerian Kesihatan dikongsi bersama Kerajaan Negeri.


"Kita mahu disentralisasikan kuasa kerajaan pusat, diagihkan kepada Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan.


"Saya ambil contoh dalam usaha tangani Covid. Kita lihat dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual 9, hal berkaitan perubatan dan kesihatan adalah dalam senarai Persekutuan. Tidak masuk dalam senarai bersama. Kita mahu ia masuk dalam senarai bersama supaya Kerajaan Negeri boleh bertindak membantu.


"Di Sabah ketika kerajaan Warisan Plus dahulu, kita telah membelanjakan sekurang-kurnagnya RM10 juta kepada agensi Persekutuan. Polis kita beri RM1 juta, Bomba RM1 juta, Rela RM1 juta dan sebagainya. Tetapi oleh kerana ini dalam senarai Persekutuan maka menjadi masalah. Oleh itu kita mahu kuasa ini kurang berpusat," kata beliau lagi.


Wilfred juga mencadangkan agar negeri yang mampu membina hospital sendiri agar dibenarkan berbuat demikian untuk memberi lebih banyak kebajikan kepada rakyat yang berusaha keras memajukan ekonomi negeri itu.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page