Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa segera melantik kontraktor senggaraan baharu bagi kawasan Projek Perumahan Rakyat 1, Lembah Subang, Selangor.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar, kontraktor senggaraan di PPR itu telah tamat perkhidmatan sejak Disember 2020 lalu, namun tiada dibuat lantikan kontraktor baharu.
Hal itu, katanya menyebabkan sampah pukal, pembaikan bumbung, tangga dan sebagainya tergendala serta menyusahkan penduduk.
"Saya lihat keadaan agak teruk di PPR 1, Lembah Subang. Antara puncanya kerana masalah penyelenggaraan. Syarikat yang mengendalikannya telah ditamatkan perkhidmatan oleh pihak KPKT. Namun tiada kontraktor penyelenggaraan baru dilantik menyebabkan keadaan tidak terurus
"Misalnya sampah pukal tidak diuruskan (pungut). Kalau sampah domestik semuanya telah diuruskan oleh KDEB (di bawah kerajaan Selangor).
"Selain daripada itu, bila tidak ada syarikat penyelenggaraan, longkang tidak diuruskan dan bumbung ada yang tercabut tidak dibaiki. Termasuk tangki air yang ada masalah dan pihak KPKT belum selesaikan," katanya dalam sidang media semalam.
Sehubungan itu, Halimey berharap pihak KPKT melantik kontraktor baharu secepat mungkin agar sampah yang bertimbun tidak menyebabkan tikus atau haiwan liar lain bersarang dan membahayakan penghuni PPR1, Lembang Subang.
"Saya harap pihak KPKT tolong selesaikan masalah ini. Bantu penduduk di sini yang hari-hari mengadu pada saya masalah sampah pukal dan lain-lain.
"PPR ini ada 8 blok, semuanya bermasalah sebab kontraktor baru belum dilantik.
"Bagi saya kalau tak ada lantikan baru, sekurang-kurangnya pihak KPKT lanjutkan (kontraktor sedia ada) bulan ke bulan, beri lantikan kontraktor sementara," katanya lagi.
Comments