Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemantauan dan tinjauan di lapangan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 27 Disember 2023.
Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, SHMMP tersebut dilaksanakan selama 5 hari.
"SHMMP dilaksanakan pada 2 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan.
"Sebanyak 14 jenis barangan yang diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2023," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Fuziah, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bekerjasama dengan melakukan pemantauan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan mencukupi.
"Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya dan input data yang dikutip oleh Bahagian Harga Barangan Negara (BHBN)
"Seramai 2,200 orang anggota Penguatkuasa KPDN bersama 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN di seluruh negara telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pusat membeli-belah di mana menjual barangan keperluan perayaan," katanya.
Menurut Fuziah lagi, pelaksanaan penugasan di lapangan membolehkan penguatkuasaan dilakukan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna serta tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga jika berlaku ketidakpatuhan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan peraturan di bawah skim berkenaan. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Barang yang dikawal SHMMP ialah Daging Kambing Biri-Biri Bertulang Import; Tomato; Lada Benggala Hijau; Kubis Bulat Import (China dan Indonesia); Lobak Merah; Cili Merah; Ubi Kentang Import (China); Bawang Merah Besar Import; Bawang Kuning Besar; Ayam Tua Hidup (Dikawal di Sarawak); Kepak Ayam; Babi Hidup (Dikawal peringkat ladang); Daging Babi (Perut), dan Daging Babi (Daging dan Lemak).
Fuziah juga meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran seperti Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN dan Whatapps 019 279 4317.
Bình luận