
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bertemu bagi mendapatkan penjelasan dari beberapa agensi berita yang melaporkan satu tinjuan berhubung 100 hari pentadbiran kerajaan oleh sebuah firma penyelidikan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata laporan itu yang mendakwa orang Melayu tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dilihat mencurigakan dan wujud kesangsian.
Berdasarkan maklumat yang diterbitkan menerusi kajian itu, kata Fahmi, ia tidak mencerminkan pendapat keseluruhan rakyat di negara ini kerana sampel responden terlibat tidak seimbang malah metodologi kajian juga meragukan.
"Maklum balas yang kami terima daripada pelbagai pakar akademik, rata-rata mempertikaikan metodologi kajian... jika itu pendirian mereka (ahli akademik), maka kita kena lihat motif kajian.
"Kajian tentang 100 Hari Kerajaan Perpaduan mentadbir tetapi kita belum capai 100 hari. Saya akan bertemu dengan pihak akhbar tersebut dan dapatkan penjelasan mereka, adakah mereka cuba buat promosi (jenama) atau mahu memperdaya rakyat," katanya pada satu program di Wangsa Maju semalam.
Lima media tempatan tersebut menyiarkan dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dijalankan dari 6 hingga 16 Feb lepas.
Kajian yang melibatkan 35,000 responden itu antaranya mendapati hanya 27 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam menangani isu hubungan antara kaum dan pertumbuhan ekonomi negara, manakala 26 peratus responden berpendapat kerajaan menangani isu bekalan makanan dengan baik.
Komuniti bukan Melayu secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi kerajaan, tetapi majoriti responden Melayu pula tidak berpuas hati.
Hanya 15% responden Melayu berpuas hati dengan usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto PRU15, manakala 71% tidak berpuas hati.
Kesangsian berhubung hasil tinjuan itu dibangkitkan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mashitah Mohd Udin.
Beliau mempersoal metodologi diguna pakai dalam kajian tersebut dengan mendakwa responden dalam kajian itu tidak dipilih secara rawak.
"Kami di Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) yang pernah menjalankan beberapa kaji selidik sebelum ini ragu-ragu dengan dapatan-dapatan kaji selidik ini," kata Dr Mashitah.