top of page

Kesatuan bangsa sangat berharga bagi Malaysia - Prof Razali Nawawi



Malaysia selepas 63 tahun merdeka semakin luput nilai kesatuan pelbagai bangsa dalam kalangan rakyatnya.


Saban hari isu perkauman dan agenda memisahkan kaum Melayu dan bukan Melayu menjadi propaganda di media masa. Budaya pecah dan perintah ini sekiranya berterusan akan merosakkan masa hadapan negara serta meruntuhkan tamadun yang sedang dibina.


Bagi Profesor Dr Razali Nawawi, halangan menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia lebih kepada kejahilan pemikiran rakyat, selain diadu-domba isu-isu yang menerbitkan kecurigaan melampau antara satu sama lain.


"Saya rasa cabaran di sini ialah kejahilan, kecetekan ilmu dan pemikiran.


"Melihat orang lain dalam bentuk negatif. Tak faham erti hidup bersama. Kemudian yang amat membimbangkan, berlakunya pengkhianatan terhadap gerakan yang mahu merealisasikan semangat kemerdekaan.


"Kita harus sedar peranan mulia yang perlu dimainkan bangsa Malaysia, khususnya umat Islam. Saya rasa tercabar ada Ahli Parlimen Eropah menyindir, awak muslim; kamu satu dalam solat, satu kiblat, satu buku iaitu al Quran, satu Tuhan dan kamu kata kami berbeza kaum. Tetapi kamu berpecah lebih teruk daripada kami. Kami telah bersatu dalam Kesatuan Eropah.


"Mengapakah kita tidak belajar daripada mereka? Kita di sini bercakap Melayu - Islam. Tetapi kita menggembar-gemburkan elemen dan unsur yang boleh menghancurkan bangsa Malaysia.


"Sepatutnya kita mengekalkan co-existance. Depan saya Cina, belakang saya India. Jadi negara ini pelbagai bangsa," katanya dalam forum 'Erti Hijrah dan Kemerdekaan bagi Reformis serta Umat' anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.


Menurut mantan Dekan pertama Kuliah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, pembinaan negara bangsa (nation state) yang lebih bermakna pada masa hadapan hanya boleh dilakukan dengan membentuk pemimpin pelapis berkualiti.


Katanya, Nabi Muhammad s.a.w sepanjang kerasullannya telah melatih para sahabat baginda untuk menjadi pemimpin pelapis.


Oleh yang demikian, umat Islam di Malaysia harus mendesak kepimpinan politik negara agar membentuk pelapis-pelapis yang berkualiti


"Jangan kita harapkan orang kampung mahu berubah. Jangan kita harapkan orang bandar berubah. Pemimpin perlu berubah terlebih dahulu.


"Pemimpin ibarat kapten kapal, dia nak bawa kapal ke mana? Orang di belakangnya pula ibarat jurutera, mereka mesti jaga enjin dengan betul. Kapten pun jangan setkan navigator salah, nak pergi timur disetkan ke barat. Tidak akan sampai.


"Jadi rakyat kena mendesak political leadership, kalau kepimpinan tidak ada ketelusan maka bahanalah negara," katanya lagi.


Kepimpinan yang berkualiti, menurut Dr Razali, menyebabkan bukan sahaja orang Islam tetapi bukan Islam juga selesa mendiami Madinah.


Keselesaan tersebut menyebabkan semua kaum ingin bersatu-padu dan melupakan perbezaan antara mereka.


Cabaran itulah, kata Dr Razali, yang perlu didukung oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambilalih tampuk pemerintahan negara agar masa hadapan Malaysia tidak lagi terumbang-ambing.


"Sekarang bagaimana mahu buat? Tentunya rakyat perlu ada keazaman yang tinggi untuk berubah. Di Madinah orang Islam dan Yahudi ada keinginan yang kuat ke arah perubahan, keinginan yang kuat untuk bersatu.


"Umat waktu itu menjadikan diri mereka seperti bahan yang boleh dibentuk. Di Malaysia, semua bangsa mesti ada keazaman untuk berubah ke arah menegakkan nilai mulia atau 'high standard of values'. Keihlasan, kesamarataan dan timbang rasa.


"Kerana keikhlasan memerintah maka Rasullullah berjaya membina 'nilai moral' dalam kalangan orang Yahudi dan kaum pendatang.


"Kalau kita mahu menghayati semangat kemerdekaan. Kalau reformis nak laksanakan semangat Deklarasi Permatang Pauh maka kena buat kerja mengajak seluruh bangsa ikut memahami dan melaksanakan nilai-nilai yang terdapat dalam Deklarasi Kemerdekaan Malaysia juga Deklarasi Permatang Pauh itu," katanya.


Prof Dr Razali Nawawi merupakan Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada pemilihan kepimpinan tahun 1972, yang mana ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Setiausaha Agung.


Forum GRM boleh diikuti di page Facebook Gabungan Reformasi Malaysia pada setiap Rabu, 9.30 malam.







0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page