Kes Covid meningkat: Banyakkan bazar Ramadan online atau perketat SOP



Bazar Ramadan ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pengusaha dan juga umat Islam yang mengerjakan ibadah puasa untuk membeli juadah berbuka.


Bagaimanapun, peningkatan kes jangkitan Covid 19 terbaharu di seluruh negara sejak 3 hari lalu membimbangkan dan memerlukan kerajaan meneliti punca jangkitan, adakah kerana bersesak-sesak di bazar Ramadan


Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Zaliha Mustafa, sekiranya terbukti bazar Ramadan menjadi penyumbang kepada kenaikan kes-kes Covid maka kerajaan perlu memikirkan langkah lebih tegas bagi mengawal keadaan.


"Kita faham berniaga bazar boleh menambahkan pendapatan warga yang ekonomi keluarga sudah lama tertekan akibat pandemik. Usaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat memang baik dan dialu-alukan, tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak mahu aktiviti sebegini melahirkan kluster baru Covid dan memungkinkan kemunculan gelombang ke-4.


"Kerajaan Tempatan dalam hal ini harus meningkatkan pemantauan dengan memastikan petugas sentiasa ada di perkarangan bazar supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) terus dipatuhi. Di samping itu, jumlah pengunjung di satu-satu tempat dan di satu-satu waktu juga perlu dihadkan mengikut keluasan bazar.


"Saya rasa risiko ini dapat dikurangkan jika semua bazar Ramadan boleh menyediakan perkhidmatan bazar online. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh memainkan peranan ini dan saya yakin mampu memudahkan urusan dengan penyediaan apps bazar contohnya.


"Kos perkhidmatan penghantaran juga mungkin boleh dikurangkan atau ditampung sebahagian oleh kerajaan, agar peniaga tidak terbeban dengan kos itu dan pelanggan pula dapat menikmati juadah dan kemeriahan suasana Ramadan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Pengarah Dasar, Strategi dan Latihan Wanita KEADILAN Pusat itu lagi, kes harian yang mencecah lebih 1,800 semalam sangat mengganggu dan meresahkan rakyat.


Katanya, andai kerajaan tidak menilai punca jangkitan, maka keadaan mungkin lebih buruk menjelang umat Islam menghabiskan ibadah Ramadan.


"Adakah meningkatnya kes disebabkan oleh pembukaan Bazar Ramadan di seluruh negara? Tiada pula kenyataan yang mengesahkan keabsahan ini dari Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun Majlis Keselamatan Negara.


"Apa yang pasti, virus Covid memang telah berada dalam komuniti. Segala bentuk kehadiran orang ramai dalam sesuatu tempat apatah lagi di ruang yang terhad akan meningkatkan risiko rangkaian jangkitan apatah lagi di bazar yang dikunjungi oleh mereka dari pelbagai ceruk tempat dan kawasan," katanya lagi.


Oleh itu, kata Dr Zaliha, ada baiknya kerajaan meneliti semula SOP pembukaan bazar Ramadan dan berusaha untuk memasarkan barang jualan peniaga secara atas talian, sebagaimana dilakukan di banyak negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada bulan Ramadan tahun lalu.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER