Kenaikan kes jangkitan harian Covid 19 ke paras tertinggi semalam, sebanyak 21,000 kes sehari tidak wajar dipandang ringan.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes yang semakin banyak di luar Lembah Kelang dan kadar kematian yang tinggi memperlihatkan kerajaan telah hilang kawalan menangani pandemik tersebut.
"Kita tahu keadaan yang lebih parah tentang kes 21,000. Sekarang selain Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Sabah, Johor juga sampai ke tahap yang sangat membimbangkan
"Setiap hari purata 230 orang meninggal. Kalau kita lihat 14 hari yang lalu keadaannya sangat menyedihkan. Kadang-kadang kita hebah lah kalau orang itu VIP atau artis.
"Tetapi ini yang menyentuh kehidupan rakyat biasa yang tidak mendapat paparan. Soalnya dari purata 2 minggu lepas, 230 orang meninggal dunia akibat Covid 19 dan kadar kematian pada Julai 2021 itu, tiga kali ganda setelah darurat diumumkan pada Januari.
"Soalnya kita sebut takdir, kita kena sabar tetapi puncanya adalah kerana kecuaian, kelembapan, kelemahan. Kalau sebahagian besar orang itu telah dapat divaksin saya percaya kadar kematian dapat dikurangkan. Ini bertentangan dengan jaminan mereka keadaan bertambah baik walaupun apa yang berlaku dan tercatat kadar kematian yang lebih parah.
"Kadar positif bertambah dan kegagalan mengurustadbir isu kita tekankan dari awal, vaksin, vaksin. Sebaliknya, mereka berulang kali salahkan Eropah, salahkan Amerika Syarikat, salahkan China tetapi kegagalan kita cuba diselindungkan.
"Sebab itu kita lihat tekanan PM perlu meletak jawatan. Bukan soal jumlah anggota Parlimen yang memang terang tidak menyokong tetapi kerana kesan parah kepada rakyat yang mati meninggal dunia dan terjangkit kes wabak Covid 19," katanya dalam siaran langsung di Facebook, malam tadi.
Bagi Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau kesal dengan sikap menteri Perikatan Nasional yang memberi jaminan atau pujukan palsu terhadap rakyat.
Keadaan digambarkan sebagai terkawal sedangkan tiada satu apa pun yang dilakukan secara betul dan mengikut nasihat para pakar menangani Covid 19.
"Setahun berlalu dan tiap kali ada kenyataan PM dan menteri, semua gambarkan keadaan akan bertambah baik, bulan depan bertambah baik, bulan berikutnya bertambah baik
"Tetapi keadaan lebih parah dan tidak ada kelihatan tumpuan menangani masalah ini secara serius dan kita kaitkan masalah ini menangani soal Covid 19 dan kesan sampingan ekonomi sebagai suatu petanda jelas kerajaan gagal.
"Kita lihat umpamanya kesesakan hospital. Ada satu kes di Port Dickson kes seorang ibu tulis kepada saya anaknya dalam keadaan melecur 40% dibawa ke hospital dan pihak hospital tidak boleh menampung lagi kes dari puluhan ribu yang sensara setiap hari. Tetapi kenyataan menteri keadaan terkawal dan bulan depan keadaan akan bertambah baik," katanya.
Mengenai pusat pemberian vaksin pula, Anwar mengkritik dasar tidak telus dan peningkatan kos yang tidak diketahui punca dan keperluannya.
"Kalau nak vaksin ke pusat mega. Saya tanya di Parlimen siapa dapat kontrak. Kenapa kes di PWTC ada kontrak kepada satu syarikat. Setiap orang yang datang menerima vaksin dikenakan caj RM29.80. Dibayar oleh kerajaan, saya tidak faham untuk apa," katanya lagi.
Comentários