Kerajaan PN salahguna kuasa enggan panggil Parlimen bersidang - Sivarasa Rasiah


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah bertindak menyalahgunakan kuasa apabila enggan memanggil segera sidang Parlimen sebagaimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu.


Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berkata, tindakan melengah-lengahkan itu juga boleh dianggap sebagai penghinaan kepada Agong.


"Kita katakan keengganan kerajaan PN panggil Parlimen ini satu salahguna kuasa. Bagi saya ada elemen penghinaan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong.


"Isunya bukan setakat keenganan panggil Parlimen tetapi dari mula, sewaktu PN menasihatkan Agong isytihar darurat, pada masa itu saya perhatikan sudah berlaku salah guna kuasa.


"Apatah lagi keenganan sekarang. Bila ada kenyataan jelas dari Agong dan dari Majlis Raja-raja. Kita tau ini bukan satu arahan, ini Raja Berpelembagaan. Raja tak ada kuasa mengarahkan kerajaan buat sesuatu. Di bawah Perkara 40 Perlembagaan, Agong bertindak atas nasihat kerajaan.


"Namun institusi Raja-raja tidak boleh ditafsirkan seolah-olah mereka ini patung dan tidak ada peranan dalam negara. Mereka ada peranan. Mereka adalah cabang yang sangat penting, monarki, perundangan dan eksekutif. Kalau baca dalam Perlembagaan, Agong adalah ketua utama negara dan kalau teliti Parlimen, bahawa Parlimen ada 3 anggota penting Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kita tidak boleh nafikan peranan Yang di-Pertuan Agong.


"Walaupun tiada kuasa arah (buka Parlimen) tetapi nasihat mereka mesti diberi kehormatan. Sistem ini kita warisi dari Westminister, ini sistem yang rumit dan ada konvensyen yang mesti difahami. Kehormatan kepada institusi Raja Berpelembagaan itu penting," katanya dalam forum maya Studio Keadilan anjuran Biro Penerangan KEADILAN yang dimoderatorkan oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bertajuk "Melengahkan Buka Parlimen: Adakah Proses Undang-undang Disalahguna?", malam tadi.


Menurut Sivarasa lagi, oleh kerana sistem Parlimen Malaysia diasaskan dan mengikuti United Kingdom (UK) maka seharusnya kerajaan PN mencontohi hal yang dilaksanakan oleh kerajaan UK dalam hal memanggil Parlimen.


"Saya beri contoh. Bila orang tanya apakah kerajaan patut buat? Apa speaker patut buat? Jawapannya kita rujuk kepada UK. Kalau keadaan ini (titah Agong) berlaku di sana, apakah akan terjadi? Inilah yang patut kita ikut.


"Katakan Ratu (Queen) mengeluarkan nasihat kepada kerajaan dan dia minta sidang diadakan untuk sampaikan satu mesej penting kepada Parlimen maka serta merta kerajaan akan panggil. Mereka tak akan persoalkan dia (ada kuasa atau tidak).


"Itulah kehormatan. Sekarang kita lihat kehormatan tidak wujud (ke atas Agong). Melengahkan proses bagi saya lebih kepada penghinaan, tidak hormat, dan inilah keadaan yang kita ada," katanya.


Mengulas mengenai pendapat Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan bahawa Parlimen tidak boleh dibuka sewaktu Darurat, Sivarasa menganggap pendapat itu tidak benar sama sekali.


"Takiyuddin kata selagi Darurat ada Parlimen tidak boleh bersidang. Bagi saya ini jelas salah. Kita baca perkara 150, itulah perkara digunakan untuk isytihar darurat. 150 (3) dengan jelas membayangkan sidang Parlimen boleh berjalan semasa darurat ada.


"Dalam sejarah Malaysia, Darurat 1969 tidak halang Parlimen berisdang pada 1971. Masa itu proklamasi darurat masih aktif hingga 2013 dimansuhkan. Maka semua ordinan yang dibuat luput.


"Dari 1971 sampai 2013 Parlimen telah bersidang berapa kali? Kalau ada keazaman politik, kerajaan boleh panggil (sidang) minggu depan, memang boleh berlaku," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER