Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan untuk memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat Malaysia terbela perlu menangani politik adu domba yang dimainkan pembangkang sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke 15.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, politik membenci kaum sebagaimana yang diamalkan PN ketika ini tidak selayaknya dibiarkan subur di negara yang pelbagai bangsa.
"Menjadi amalan biasa jika kerajaan dipantau dan dikritik oleh rakyat atau pembangkang, tapi kita perlu meneliti apakah isi yang terkandung dalam serangan mereka.
"Serangan yang dituju kepada kerjasama politik baru dan Perdana Menteri baru Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lain tidak bukan adalah cerita ejen Yahudi, Freemason, komunis yang anti Melayu-Islam.
"Ianya sudah bermula beberapa bulan sebelum pilihan raya, dan menjadi makin kencang selepas pembubaran parlimen, dan makin membara apabila dibantu oleh media sosial seperti TikTok. Maka selepas PN-Pas tidak dapat membentuk kerajaan, modus operandi ini diteruskan dan semakin melampau," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia itu lagi, politik adu domba di Malaysia sangat tidak sihat dan muncul pada musim pilihan raya di mana 'hantu' ejen Yahudi, komunis, freemason tiba-tiba keluar beramai-ramai dari bawah tanah menakut nakutkan pengundi supaya dapat mempengaruhi keputusan mereka.
Katanya, hantu itu akan lenyap sekiranya parti yang memainkannya membentuk kerajaan sebagaimana selepas peristiwa Langkah Sheraton lalu, yang mana isu kematian Adib, pemandu mabuk, kilang arak dan sebagainya hilang begitu sahaja.
"Bahayanya apabila politik sentimen yang dimainkan oleh PN-Pas ini berlarutan, ianya akan menjejaskan kepercayaan di kalangan anggota masyarakat, dan tidak membantu kita terus berpadu dan fokus kepada dasar pembangunan ekonomi atau kebahagiaan rakyat.
"Kali ini, agak ganjil apabila sentimen ini dimainkan oleh Presiden Parti Pas iaitu Datuk Seri Hadi Awang. Saya melihatkan ini percubaan beliau untuk mengukuhkan sokongan asas mereka.
"Tapi adakah saya setuju dengan perbuatan sebegini? Tidak. Kita perlu memastikan ahli-ahli politik kita tumpu kepada kerja asas mereka, iaitu pembangunan ekonomi dan kebahagiaan rakyat (bukannya adu domba)," katanya.
Oleh itu, tambah Chean Chung, tibalah masanya Kerajaan Perpaduan mengusulkan di Dewan Rakyat kewujudan Akta Anti Kebencian yang berpotensi untuk diluluskan kerana Kerajaan mempunyai majoriti 2/3.
"Saya mendokong penggubalan Akta Anti Kebencian seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara lain.
"Akta ini tergunapakai kepada mana-mana tokoh politik dari mana-mana parti, tidak kira Pas, DAP, UMNO, KEADILAN atau Bersatu.
"Mereka ini akan dikenakan tindakan sekiranya mengeluarkan kenyataan yang bersifat menabur kebencian tanpa asas.
"Tiada sebuah negara pun di dunia yang berjaya membangun sebagai sehingga maju dengan memainkan sentimen rakyat sahaja," katanya lagi.
コメント