Kerajaan Malaysia yang serius mengambil tindakan undang-nundnag terhadap pihak-pihak yang terbabit dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd diharap memasukkan firma perakaunan KPMG dalam saman sivil yang sedang diusahakan.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, saman sivil ke atas 22 pihak tersebut tidak akan lengkap jika tidak memasukkan bersama KPMG.
"Saya menyambut baik keputusan kerajaan membawa 22 pihak untuk tindakan mahkamah sivil oleh 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
"Namun yang menarik perhatian orang ramai adalah KPMG Malaysia tidak tersenarai dalam nama-nama yang akan diambil tindakan mahkamah.
"KPMG merupakan juruaudit 1MDB dari tahun 2010 hingga 2012, yang mana sejumlah wang AS$1 bilion daripada 1MDB disuntik dalam usahasama dengan Syarikat Petrosaudi International (PSI) dan mengakibatkan sekurang-kurangnya AS$700 juta dipindah alih kepada Good Star Ltd yang dikuasai Jho Low.
"Berlainan dengan Ernst & Young (EY) yang enggan menandatangani keputusan audit, KPMG telah mengiktiraf audit akaun 1MDB untuk tahun 2010 tanpa meneliti penyata kewangan PSI. Kegagalan ini mengakibatkan 1MDB memberikan AS$800 juta lagi pinjaman kepada anak syarikat PSI pada tahun 2011," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu itu juga berkata, andainya kerajaan enggan menyaman firma KPMG maka Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan yang munasabah mengapa tindakan seperti itu dilakukan.
"Apabila reputasi dan nama baik KPMG digunakan berkali-kali untuk menjustifikasikan transaksi dan perniagaan 1MDB, adakah KPMG tidak perlu bertanggungjawab dalam kecuaian ini?
"Saya menggesa kerajaan supaya memasukkan KPMG dalam senarai saman sivil. Jika tidak, Menteri Kewangan Tengku Zafrul perlu memberikan penjelasan mengapakah satu-satunya pihak yang penting ini dikecualikan dalam proses tuntutan mahkamah sivil," katanya lagi.
Comentários