Kerajaan tidak hanya berusaha mempercepat pelaksanaan projek-projek kerajaan malah terus komited meningkatkan aktiviti perniagaan dalam negara dan menyokong pelaburan langsung domestik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya mengambil beberapa langkah memudahkan kelulusan aktiviti perniagaan termasuk dalam isu permohonan berkenaan ekspatriat berkemahiran dalam usaha menggalakkan pertumbuhan domestik.
"Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
"Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Kenyataan itu susulan sesi dialog dihadirinya dengan para pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fiskal kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
Malaysia jelasnya mencapai pertumbuhan Suku Pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus (berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020).
Selain itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.
"Ia disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.
"Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar," katanya.
Sesi dialog berkenaan disertai dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan institusi kewangan.
Pada sesi itu juga Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta menegakkan keadilan sosial untuk semua rakyat, selaras dengan visi Malaysia Madani.
Justeru, katanya, kumpulan perniagaan turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.
"Orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen "Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan," tambahnya.
Comments