
Kenaikan harga barang keperluan tetap berlaku walaupun Skim Harga Maksimum Musim Perayaan diperkenalkan menunjukkan kerajaan gagal menangani masalah rantaian bekalan makanan, kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berpandangan bahawa rungutan terhadap kenaikan harga ayam dan sayur tidak sepatutnya berlaku, terutamanya ketika krisis wabak COVID-19.
"Seperti yang kita sedia maklum, harga ayam dan sayur tetap meningkat.
Sekiranya pihak kerajaan menangani masalah rantaian bekalan makanan, perkara ini mungkin tidak akan berlaku.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan, tetapi seperti yang kita sedia maklum, harga ayam dan sayur tetap meningkat.
"Sekiranya pihak kerajaan menangani masalah rantaian bekalan makanan, perkara ini mungkin tidak akan berlaku.
"Walaupun krisis wabak COVID-19 mungkin memberi kesan secara tidak langsung kepada permintaan dan seterusnya harga makanan, pihak kerajaan seharusnya melakukan yang sewajarnya untuk memastikan harga barang makanan sentiasa terkawal," katanya menerusi akaun Facebook rasminya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menjelaskan lebih lanjut bahawa hanya dengan kerjasama erat antara MOA dan KPDNHEP, bekalan makanan akan mencukupi dan harga bahan makanan menjadi berpatutan terutamanya sepanjang musim perayaan.
"Tahun lepas, kami telah bertindak secara proaktif melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 15 hari sebelum musim perayaan dan 15 hari lagi selepas itu untuk 27 jenis barang.
"Ini bagi memastikan harga barang tidak naik mendadak seperti yang biasa terjadi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan. Hasilnya, harga bekalan makanan telah kekal terkawal dan munasabah dalam tempoh tersebut.
"Justeru, saya ingin menggesa agar kerjasama yang erat antara pihak MOA dan KPDNHEP terus dilakukan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga kekal berpatutan," katanya lagi.