
Sekumpulan 19 Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil keputusan meninggalkan Mesyuarat Majlis semalam kerana tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Bandar Petaling Jaya yang didakwa tidak menghormati proses undang-undang dalam memberi kelulusan kepada permohonan yang melibatkan projek pembangunan di Lorong Sultan.
Menurut salah seorang Ahli Majlis, Bryan Ng Yih Miin, tindakan tersebut dibuat untuk mengingatkan Datuk Bandar bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat pada tersebut akan menjadi rujukan kepada isu-isu yang berbangkit pada masa akan datang.
"(Tindakan ini) untuk mengelakkan MBPJ daripada khilaf dalam membuat keputusan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang apabila proses permohonan daripada pemohon tidak melalui prosedur yang betul.
"Pendirian 19 Ahli Majlis MBPJ adalah tegas, bahawa apa-apa sahaja permohonan pembangunan di Petaling Jaya hendaklah melalui proses yang betul dan telus serta menghormati prinsip undang-undang.
"Pendirian 19 orang Ahli Majlis MBPJ jelas, pemohon hendaklah menarik balik kes di Lembaga Rayuan, memasukkan permohonan baharu dan permohonan akan dibincangkan semula berdasarkan garispanduan terkini, dan bukan diluluskan tanpa melalui proses perundangan yang betul," kata Bryan Ng dalam satu kenyataan.
Justeru, kata Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu lagi, keputusan 19 Ahli Majlis MBPJ semalam adalah untuk menjaga kepentingan MBPJ sendiri, melindungi pihak berkuasa tempatan itu daripada khilaf dari segi perundangan dan memastikan kesejahteraan warga Petaling Jaya, supaya keputusan tanpa mematuhi prosedur tidak akan membuka peluang kepada kes-kes lain pada masa akan datang.