top of page

Kenyataan Ismail Sabri pertikai keabsahan pengampunan Anwar tidak berasas - Sivarasa



Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertikaikan keabsahan pengampunan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2018 lalu adalah tidak berasas sama sekali.


Menurut Pengerusi Biro Guaman KEADILAN, Sivarasa Rasiah, kenyataan Ismail dalam satu perhimpunan penyokong Umno di Bagan Datuk pada 18 Oktober lalu amatlah dangkal dan tidak bertanggungjawab.


Kata Sivarasa, fakta yang diungkapkan oleh Ismail seperti pengampunan dibuat “sejurus Pakatan Harapan berkuasa”; Peguam Negara tiada di dalam Lembaga Pengampunan kerana Tan Sri Apandi Ali telah ‘dipecat’ sebagai Peguam Negara oleh Tun Dr Mahathir atau tiada Menteri Wilayah Persekutuan di dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan maka ianya tidak sah, adalah tidak wajar diulang kerana hal itu telah dibawa ke mahkamah.


"Perdana Menteri Sementara wajib menyemak dahulu fakta. Beliau sepatutnya memberitahu hadirin bahawa semua isu yang beliau sebut itu telah pun dibangkitkan dalam perbicaraan mahkamah di mana keabsahan pengampunan itu dipersoal.


"Dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2020 dan Mahkamah Rayuan pada 21 September 2021 telah menolak kes yang mempertikai keabsahan pengampunan Datuk Seri Anwar dan memutuskan kesemua isu perundangan yang disebut Ismail itu tidak berasas langsung.


"Datuk Sri Ismail memang seorang peguam, tetapi dengan pengalaman amat minima berbanding Yang-Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan.


"(Hakikatnya) Yang di-Pertuan Agong berhak mengurniakan pengampunan kepada Datuk Sri Anwar pada ketika itu kerana beliau telahpun menjalani lebih 90 peratus hukuman penjara 5 tahun (60 bulan), atau dengan kata lain, 48 bulan bersekali dengan peringanan hukuman," katanya dalam kenyataan hari ini.


Malah, kata Sivarasa yang pernah menjadi peguam Anwar dalam kes Fitnah II, Peguam Negara adalah tidak dipecat sebagaimana didakwa Ismail tetapi telah diminta Perdana Menteri untuk bercuti pada 14 Mei 2018.


Di mahkamah, surat bertarikh 14 Mei 2018 telah ditunjukkan di mana Tan Sri Apandi telah mewakilkan fungsinya di dalam Lembaga Pengampunan kepada Peguam Cara Negara, Datuk Zauyah Loth Khan.


"Saya sendiri ingat perbincangan dengan Peguam Cara Negara berkenaan tarikh pendengaran permohonan pengampunan pada waktu itu. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan tindakan mewakilkan itu adalah sah di sisi undang-undang.


"Isu ketidakhadiran Menteri Wilayah Persekutuan pula telah ditolak oleh kedua-dua mahkamah, yang memutuskan bahawa Tun Dr Mahathir seperti yang diperinci di dalam warta berkenaan turut memegang kuasa menteri-menteri semua Kementerian sehingga keanggotaan penuh Jemaah Menteri dilantik.


"Maka Datuk Seri Ismail wajib semak dahulu fakta dan keputusan penghakiman dalam isu-isu yang beliau bangkitkan secara terbuka ini.


"Jika tidak, amatlah tidak bertanggungjawab bagi seorang Perdana Menteri Sementara untuk membangkitkan isu ini secara dusta dan salah, seolah-olah mahkamah tidak pernah memutuskan isu tersebut sebelum ini," katanya lagi.


Justeru itu, Sivarasa mendesak PM Ismail Sabri menarik balik kenyataan beliau yang tidak bertanggungjawab yang dikeluarkannya beberapa hari lalu itu.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page