top of page

Kenapa lama sangat nak selesaikan masalah air di Kelantan?


Tindakan kerajaan yang akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dalam tempoh 40 tahun dengan alasan kos tinggi dianggap memakan masa yang terlalu lama dan dilihat seolah-olah tidak mementingkan keperluan asas rakyat.


Pensyarah di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohammad Agus Yusoff berkata kerajaan negeri Kelantan sudah tidak mempunyai alasan untuk tidak menyelesaikan masalah tersebut selepas parti pemerintah Pas menjadi sebahagian dari kerajaan persekutuan.


Malah, Agus meluahkan rasa hairan mengapa kerajan negeri Kelantan tidak mendedahkan jumlah sebenar peruntukan yang diminta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


"Reaksi pertama saya ialah mengapa begitu lama? Jika kosnya besar, berapa besar? Kos ini tidak disebut, melainkan menyatakan “[Kementerian] akan memohon peruntukan bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan menerusi RMK12.”


"Berapakah jumlah yang akan dipohon itu? Tidakkah setiap RMK cuma lima tahun sekali sahaja? Berapa RMK lagikah yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan ini?


"Jika dahulu, rakyat boleh terima ketidakupayaan kerajaan negeri menyelesaikan masalah ini atas faktor kewangan.


"Kini, selepas wang ehsan RM400 juta sudahpun diterima dan menterinya sudahpun dari parti yang sama dengan kerajaan negeri, dan Menteri Ekonomi yang menjaga Unit Perancang Ekonomi juga dari Kelantan, mengapa hal ini masih diperlambatkan untuk diselesaikan?" soalnya menerusi kenyataannya di akaun Facebook miliknya.


Pada masa sama, Agus membuat perbandingan terhadap masalah bekalan air di Kelantan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Projek ECRL melangkaui beberapa sempadan negeri, tetapi tempoh pelaksanaannya cuma 5 tahun sahaja, dijangka siap pada tahun 2026. Kosnya besar, RM65.5 bilion dan dijimatkan oleh kerajaan dahulu sebanyak RM21.5 bilion dengan penjajaran baharu.


"Kos projek air Kelantan tidak sampai pun sejumlah itu, dan tidak pun melangkaui sempadan negeri, tetapi mengapa mengambil masa yang begitu lama?" katanya.


Malah, Agus turut membandingkan tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dengan tempoh yang diperlukan oleh kerajaan Indonesia untuk membina ibu negara baharu di Kalimantan Timur.


"Ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur akan dibina pada tahun 2021 selepas COVID-19 dan menterinya mengumumkan pusat pemerintahan ibu kota baharu itu yang mengandungi pejabat eksekutif, kehakiman, legislatif, termasuk istana akan dimulai dibina seluas 2,000 hektar dan dijangka siap pada tahun 2025.


"Selepas itu, barulah masuk ke tahap kedua melibatkan keluasan 40 ribu hektar dari tahun 2025-2029 untuk pembangunan infrastruktur lainnya seperti markas besar tentera dan polis, pendidikan, kesihatan, universiti, taman sains dan teknologi, pusat industri berteknologi tinggi, pusat penyelidikan, pusat sukan dan pusat membeli belah.


"Tahap ketiga bila siap semuanya akan melibatkan pembangunan di tanah seluas 250 ribu hektar dalam masa 40 tahun.


"Jadi apakah projek air Kelantan ini lebih luas dari projek ECRL dan ibu kota baharu Indonesia sehingga perlu mengambil masa antara 30-40 tahun untuk selesai?


"Pemimpinku, janganlah remehkan keluh kesah rakyat. Carilah jalan untuk mengatasinya secepat mungkin. Buat momento besar untuk kebahagiaan rakyat," katanya.

1 comment

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page