Perjuangan reformasi yang bermula 25 tahun lalu perlu diiktiraf para pejuangnya yang 'memerdekakan' rakyat Malaysia buat kali kedua daripada 'penjajah' kulih berwarna selepas bebas daripada penjajah kulit putih pada 1957.
Menurut wakil pembahas Terengganu, Alias Ismail, para pejuang reformasi jalanan yang pada dua dekad lalu masih muda dan gesit bertempur menghadapi rejim zalim kini telah menjadi golongan veteran dan menghidapi pelbagai penyakit.
Oleh itu, kata beliau, setelah parti berjaya menerajui Kerajaan Persekutuan seharusnya otai-otai reformasi tersebut dibantu dan diiktiraf jasa mereka.
"Punca kejayaan (KEADILAN) pelbagai, namun satu daripadanya tidak lain dari sumbangan perjuangan veteran dalam parti kita.
"Kita tidak mampu melakarkan kesemua perkara yang mereka lakukan namun mungkin kita patut mengimbau serba ringkas kesukaran, kezaliman yang berlaku ke atas mereka yang ditimpakan oleh pemerintah terdahulu, yang tidak mahu biru muda mewarna hujana politik tanah air.
"Sebahagian veteran yang besar jasa ini masih lagi bersama kita termasuk menghadiri kongres.
"Permasalahannya, sebahagian veteran yang mangkir pula berkemungkinan besar mengikut siaran langsung melalui kerberadaan masing masing
"Cukupkah kita bercakap tentang jasa mereka hanya dengan susunan aksara, hanya dengan frasa dan klausa yang hanya retorika?" tanyanya.
Sehubungan itu cikgu Alias mencadangkan kepada kepimpinan parti untuk memikirkan satu konsep balas budi terhadap golongan veteran reformis tersebut.
"Dalam menangani permasalahan ini parti disaran melakukan balas budi walaupun tidak sampai ke tahap memadai, cukup menjangkau garis definisi penghargaan kepada veteran. Yang memerlukan kos sara hidup, diberi kos sara hidup. Yang memerlukan keperluan lain diberi mengikut keupayaan parti.
"Kita mungkin tidak dapat memberikan segala galanya tetapi perlu ada tanda yang kita ingat akan perjuangan dan jasa mereka.
"Konsep balas budi ini merangkumi kesediaan kita mendengar suara mereka. Adakalanya mereka menyampaikan nasihat dan pandangan dari jauh," katanya lagi.
Selain itu, Alias juga membawakan masalah KEADILAN negeri Terengganu yang kurang mendapat kemudahan terutama daripada sesetengah jabatan kerajaan yang disifatkan sebagai 'dingin'.
Oleh itu, beliau menyarankan pemimpin KEADILAN yang beberapa di antaranya menjadi menteri pusat untuk sering melihat masalah di Terengganu
Terutama, katanya, bagi mendapatkan peruntukan untuk bergerak melawan pengaruh Pas-PN yang amat kuat di seluruh negeri berkenaan.
コメント