
Kerajaan Perpaduan akan terus melaksana langkah-langkah perlu untuk memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.
Hal itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud di Dewan Negara semalam yang memaklumkan sebanyak 67 sesi temu duga khas untuk golongan berkenaan telah diadakan di seluruh negara dalam tempoh Januari 2020 hingga 31 Mac lepas.
Usaha itu, katanya sebagai inisiatif memastikan tiada golongan terpinggir dalam mendapatkan pekerjaan di negara ini.
"Sesi temu duga itu dihadiri seramai 1,677 golongan OKU dan daripada jumlah itu 464 orang telah berjaya mendapat pekerjaan, manakala 566 orang lagi berjaya ke sesi temu duga kedua," kata pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi kementerian itu.
Sementara itu ketika menyentuh mengenai isu pengangguran, Mustapha berkata pihak kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan pelbagai program antaranya JaminKerja dengan memperkenalkan insentif penggajian khusus untuk golongan rentan.
"Mulai 2020 hingga 2022, seramai 1,689 permohonan telah diluluskan melibatkan bayaran sebanyak RM12.8 juta bagi insentif penggajian khusus ini," katanya.
Mustapha berkata kerajaan melalui Perkeso juga telah menganjurkan Karnival Kerjaya untuk golongan OKU dengan seramai 2,874 golongan OKU telah mendapat pekerjaan sejak Januari 2021 hingga 31 Mac 2023.
"Kerajaan menerusi Perkeso turut melaksanakan program Kembali Bekerja dalam usaha membantu mereka yang hilang upaya untuk kembali semula bekerja.
"Sejak 2007 hingga 31 Mac 2023, seramai 55,634 peserta OKU telah dibantu untuk ditempatkan semula dalam pasaran kerja," katanya.
Bagi tujuan memudahkan golongan OKU mendapatkan maklumat berkaitan pasaran buruh pula, sebuah pusat satelit MyfutureJobs juga telah diperkenalkan khusus untuk golongan itu di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi.