Kemelut calon PM Pakatan Harapan, apa sebenarnya berlaku?





Kemelut berhubung ketetapan calon Perdana Menteri (PM) Pakatan Harapan (PH) Plus terungkai dengan kenyataan rasmi Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.


Dalam kenyataan media bersekali kronologi garis masa itu Saifuddin menjelaskan situasi sebenar berkenaan persetujuan PH menamakan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM ke-9.


"Saya terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkenaan usaha PH mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya. Sejak beberapa hari lalu, beberapa rakan PH telah mengemukakan beberapa persoalan serta memberi sedikit penerangan tentang perbincangan Pakatan Harapan dan gabungan yang disebut Pakatan Harapan Plus.


"Pada masa yang sama KEADILAN sentiasa menghormati dan menghargai sokongan dan dokongan parti dan individu dari DAP serta AMANAH sepanjang dua dekad perjuangan ini," kata Saifuddin dalam kenyataannya.


Menurut Setiausaha Agung KEADILAN itu, keputusan mencalonkan Anwar sebagai PM telah pun dibuat pada 30 Mei oleh Majlis Presiden PH. Cadangan tersebut diputus akan dibentang kepada Tun Mahathir Mohamad.


Oleh itu, pada 1 Jun, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung KEADILAN dilantik sebagai wakil Majlis Presiden bertemu Tun Mahathir. Dalam pertemuan itu, Tun tidak menolak nama Anwar sebagai calon PM. Beliau hanya memaklumkan perlu berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu (paksi Tun) serta Datuk Seri Shafie Apdal. Tiada opsyen lain yang dikemukakan pada waktu itu.


Manakala pada 3 Jun, Majlis Presiden memutuskan Anwar perlu bertemu Presiden Warisan, Shafie Apdal untuk berbincang dan memaklumkan keputusan mencalonkan beliau sebagai PM dan satu mesyuarat pimpinan utama Pakatan Harapan Plus perlu diadakan. Pertemuan itu berlangsung pada 4 Jun dan Anwar memaklumkan keputusan PH.


Pada 9 Jun mesyuarat PH Plus diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN. Dalam mesyuarat tersebut, semua wakil parti komponen PH sepakat berhujah Anwar adalah calon PM terbaik, manakala Tun Mahathir memohon agar diberi masa 6 bulan sebagai PM. Beliau juga berkata Anwar tidak boleh diterima sebagai PM kerana memimpin parti berbilang kaum; Datuk Seri Anwar menjawab, bila berlaku peralihan kuasa selepas tempoh 6 bulan bukankah beliau masih presiden sebuah parti berbilang kaum? Mesyuarat memutuskan tempoh seminggu untuk membuat keputusan.


Majlis Presiden PH sekali lagi bermesyuarat pada 12 Jun dan bersetuju menghantar wakil terdiri daripada Khalid Samad, Shamsul Iskandar dan Anthony Loke berjumpa Shafie dan Tun Mahathir.


Pada 13 Jun, mesyuarat PH Plus berlangsung, di mana semua wakil parti komponen berhujah Anwar wajar diberi peluang sebagai calon PM-9. Kali ini Tun Mahathir memaklumkan beliau masih mohon dicalonkan sebagai PM tetapi 6 bulan tidak mencukupi. Beliau berhujah sekurang-kurangnya 12 bulan diperlukan bagi membetulkan masalah yang dilakukan bukan sahaja oleh Najib Razak tetapi juga Muhyiddin Yassin. Shafie pula menyatakan 12 bulan terlalu lama dan 6 bulan seharusnya mencukupi.


Tun tidak menetapkan cadangan tempoh masa dan PH kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri.


Menurut Saifuddin lagi, sebaik sahaja selesai mesyuarat PH Plus tersebut, diusulkan perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH perlu diadakan pada hari Selasa, 16 Jun.


"Pada hari berkenaan saya telah memaklumkan kepada Mohamad Sabu dan Anthony Loke bahawa Anwar membuat kunjungan ke Sarawak dan mesyuarat PH ditangguhkan.


"Oleh yang demikian, adalah tidak benar jika ada sumber yang berkata PH mengangkat nama selain Anwar dalam siri perbincangan Pakatan Harapan Plus.


"Sebaliknya nama Tun Mahathir dicadang sendiri oleh beliau (Tun M) dan Shafie memberi sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus tersebut," kata Saifuddin lagi.


Bagaimanapun, kemelut berkenaan mungkin sedikit reda apabila Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN mengadakan mesyuarat bulanan pada Jumaat, 19 Jun ini. Menurut Saifuddin, pendirian KEADILAN akan dimuktamadkan dalam mesyuarat berkenaan.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio