
Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN sepakat dia atas usaha untuk mengembalikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 39 para Ahli parlimen KEADILAN yang bersidang secara atas talian hari ini, langkah berkenaan bukanlah bertujuan merampas kuasa, sebaliknya mengembalikan kuasa kepada pemerintah yang berhak agar Malaysia tidak terus ditadbir secara semberono oleh kerajaan Perikatan Nasional.
"Kami mengambil maklum bahawa proses rundingan dan perbincangan dengan semua pihak masih berterusan demi mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya pada kadar segera.
"Ini bukan pertarungan elit politik untuk merebut kuasa tetapi adalah usaha membawa agenda Reformasi sebenar yang mengutamakan kepedulian rakyat.
"Sebarang peralihan kuasa perlu berlaku - sepertimana yang dijanjikan - berjalan dengan tertib dan aman, serta mengikut lunas undang-undang," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Selain itu, Johari berkata, Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN juga menekankan keperluan bermuhasabah dan meneliti usaha selama ini untuk menepati janji-janji yang dibuat serta mengelak dari mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah berlaku.
"Kami berpendirian bahawa PH perlu terus diperkukuh kerana mandat rakyat telah diberi kepada PH dengan jelas pada PRU14 lalu.
"Kami juga membincangkan usaha penelitian dan penggubalan dasar-dasar yang mengutamakan nasib rakyat, serta keperluan untuk mengemaskini gerak langkah memperkukuh agenda Reformasi di dalam dan di luar Parlimen," katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen KEADILAN, kata Johari, turut diingatkan agar menitikberatkan kebajikan rakyat terutama yang terkesan akibat Covid-19, termasuk yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan, di mana usaha menyeluruh diperlukan bagi memulihkan kehidupan mereka.
Beberapa hari ini, situasi politik Malaysia kembali memanas apabila media-media atas talian dan sosial mula meramal akan berlakunya peralihan kuasa sekali lagi apabila wujud tanda-tanda penarikan sokongan beberapa Ahli Parlimen daripada PN.
Salah satu yang menjadi tumpuan adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 kerusi dan telah menyatakan pendirian tidak akan terlibat dalam kerjasama mendalam atau mengikat dengan PN.
Ahli-Ahli Parlimen Bebas dari Malaysia Timur juga mungkin tidak lagi menyokong PN selepas melihat sikap Pas dan Umno yang memainkan isu agama sempit seperti mahu menghalang penjualan arak kepada bukan Islam bagi mengatasi isu pemandu mabuk. Cadangan yang dilontarkan oleh pemimpin Pas itu juga menimbulkan serangan balas daripada pimpinan GPS baru-baru ini.
Comentários