
Oleh: Abdullah Zaid
Kenaikan harga beras tidak sahaja dialami di Malaysia, malah di hampir semua negara di dunia yang rakyatnya menjadikan beras sebagai makanan ruji.
Kenaikan berlaku apabila negara pengeksport seperti India, Thailand dan Vietnam menghenti atau mengurangkan bekalan.
Di Indonesia misalnya, masalah kekurangan dan kenaikkan harga beras lebih membimbangkan biarpun negara itu mempunyai keluasan sawah padi yang lebih besar berbanding Malaysia.

Kompas TV melaporkan kerajaan Indonesia dalam menghadapi gelombang kekurangan beras melaksanakan Operasi Pasar Beras Murah dan menjual makanan asasi itu pada harga RM 3.19 sekilogram bagi membantu warganya.
Inisiatif ala Jualan Rahmah di Malaysia itu diadakan secara berperingkat dan mendapat sambutan luar biasa warga sehingga ada yang terpaksa beratur selama dua jam sebelum mendapat bekalan beras bersubsidi.
Berbanding harga Beras Putih Tempatan (BPT) di Malaysia yang dijual pada RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit tetapi tetap dicaci sebilangan penyokong pembangkang, relatif harga beras di negara Asia Tenggara lain lebih mahal. Malah harga BPT di Malaysia kedua termurah selepas Kemboja.
Dalam pada itu, memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM, Datuk Azman Mahmood berkata negara tidak berdepan masalah kekurangan stok beras pada ketika ini.

Kekurangan BPT, katanya, disifatkan fenomena sementara disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import.
Peningkatan harga beras putih import memberi kesan kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada beras putih tempatan.
Sementara itu, semalam, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengadakan perbincangan bersemuka dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India untuk memohon pengeksportan beras putih diteruskan ke Malaysia.