Kejayaan utama MoU jika pinda Perlembagaan, Sabah, Sarawak rakan setara Semenanjung



Salah satu perkara yang dipersetujui dalam memorandum kerjasama (MoU) kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) adalah mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk dikembalikan kepada semangat asalnya.


Bagi Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, sekiranya PH berjaya meyakinkan kerajaan untuk meminda isu utama dalam MA63, iaitu menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai 'rakan setara' Semenanjung, hal itu sudah cukup menjadi kejayaan awal kepada MoU yang ditandatangani pada 13 September lalu.


"Ada beberapa perkara yang penting (dalam MA63 ini), iaitu Sabah dan Sarawak adalah rakan setara dengan Persekutuan Tanah Melayu. Ini terkandung dalam Perkara 1(2) Perlembagaan. Kalau itu dapat dipinda dan dikembalikan kepada yang asal, itu satu yang baik.


"Selain itu, terkandung dalam MoU itu adalah reformasi Parlimen. Namun antara perkara kita harap dilakukan awal ialah pindaan Perlembagaan (berkenaan MA63)," katanya dalam temubual eksklusif bersama Suara Keadilan.


Mengulas lanjut, Wilfred berkata, MA63 agak rumit untuk dikaji kesemuanya. Terdapat 11 perkara dan Jawatankuasa Pemandu MoU haruslah mengutamakan isu yang telah dimulakan oleh kerajaan PH yang lalu, iaitu mengenai hak rakan setara antara Malaysia Timur dan Semenanjung.


Kemudian sekiranya mempunyai kesempatan, maka hal-hal lain boleh dikaji dan dilaksanakan.


"MA63 ada 11 perkara. Jadi mana satu perkara yang kita mahu lihat? Jawatankuasa Pemandu penting melihat (menentukan) hal ini.


"Saya ambil satu contoh semasa kerajaan PH dahulu, ada majlis ditubuhkan mengkaji semula MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Saya pun ada ketika itu, dan kami telah kenal pasti 21 perkara. Daripada itu 17 perkara telah pun dipersetujui, tetapi untuk dilaksanakan perlu ada pindaan Perlembagaan.


"Saya difahamkan dokumen MA63 ini telah declassify (dinyahsenarai rahsia), kalau kita kongsikan kepada sesiapa (dokumen belum dinyahsenarai) dikatakan ada OSA (Akta Rahsia Rasmi). Jadi langkah pertama ialah mesti dideclassify. Biar rakyat tahu apa kandungannya, sebab hal MA63 ini perlu ada proses pendidikan kepada rakyat.


"Rakyat tidak faham apa dalam MA63. Selepas itu baru kita senang mendapat sokongan dan rakyat mempertimbangkan bahawa ini penting dilaksanakan.


"Ia (meminda Perlembagaan) mengambil proses (masa) sebab dalam memorandum itu pun di antara perkara disebutkan ialah PM hendaklah jangan membubarkan Parlimen sebelum Julai tahun hadapan. Jadi kalau setakat 9 bulan untuk melaksanakan ini semua, agak mencabarlah," katanya.


Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Tuaran itu lagi, untuk proses mematangkan rakyat dalam jangka panjang seharusnya tajuk MA63 dimasukkan ke dalam mata pelajaran di sekolah rendah atau menengah agar rakyat Malaysia lebih memahaminya.


Hal itu, kata beliau amat penting supaya rakyat di Semenanjung dan Malaysia Timur akan saling menghormati hak-hak bersama yang telah termaktub dalam perjanjian


"Dalam hal MA63, kalau kita dapat mendidik rakyat, bukan sahaja rakyat Sabah atau Sarawak tetapi juga rakyat di Semenanjung, bagi saya ia satu kejayaan.


"Pada saya rakyat di Semenanjung lebih tertumpu kepada Perjanjian Pangkor yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Banyak perkara menyatakan tentang kontrak sosial di antara kaum Melayu, India dan Cina. Apabila kita cerita tentang Sabah dan pembentukan Malaysia, mereka agak kabur.


"Selain itu, saya agak khuatir dengan masa yang suntuk, orang Sabah dengan jangkaan yang begitu tinggi, mereka akhirnya (akan bertanya) di mana pelaksanaannya (MA63)?


"Oleh itu, kepimpinan dan rakan dari PH, saya sangat berharap agar dapat bersama menghayati apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia ini dan sama-sama perjuangkan supaya diterima. Jangan pula nanti bila kita laksanakan, mengapa terlalu berpihak kepada Sabah," katanya lagi.


Tambah Wilfred, hak-hak dalam perjanjian telah dinyatakan secara terang dan tidak timbul isu Malaysia Timur perlu diberi kelebihan. Perkara-perkara tersebut, katanya, perlu difahami oleh semua pihak bermula daripada kepimpinan parti-parti yang mendukung PH, kerajaan PN, sehinggalah seluruh rakyat Malaysia yang cintakan toleransi dan kemakmuran.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER