
Oleh: Noraini Nordin
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa mengingatkan ahli dan pimpinan Wanita KEADILAN bahawa kejayaan parti menjadi kerajaan bukan untuk menyakau, menyailang atau menindas sesama sendiri.
Sebaliknya, tegas beliau, ia adalah amanah dan tanggungjawab untuk menyelamatkan negara berikutan beban hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu sebanyak RM1.5 trilion.
"Cukuplah Langkah Sheraton menjadi titik sejarah hitam di mana wang dan kuasa telah menodai demokrasi negara.
"Jangan kita ikut jejak mereka yang zalim demi mengejar jawatan dan ganjaran dunia sehingga lupa kepada perjuangan demi rakyat," ujarnya.
Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup Pemukiman Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat di Janda Baik, Pahang.
Beliau mengingatkan, Kerajaan Madani yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim mewarisi beban kewangan yang tenat dan defisit sekitar 5.6 peratus.
"Dalam hal ini Perdana Menteri tentunya berdepan liku tersendiri bagi memastikan pencapaian yang cemerlang kepada negara.
"Asas untuk mengatasinya tidak lain ialah melalui tata kelola yang baik agar segala ketirisan dapat diatasi," ujarnya.
Sehubungan itu, tegas beliau, semua pihak harus menghargai usaha Perdana Menteri kerana melalui tadbir urus yang diperkenalkannya itu akan membawa kecemerlangan kepada negara.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut mengingatkan Wanita KEADILAN agar sentiasa bermuhasabah diri dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 16 akan datang.
"Kita perlu bersedia daripada sekarang kerana PRU16 hanya lebih kurang 3 tahun saja daripada sekarang.
"Kita perlu terus bersama gabungan PH-BN serta hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa," katanya lagi.
ความคิดเห็น