
Menteri Dalam Negeri menolak dakwaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa warganegara China yang lulus permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah dapat mendapat status Permastautin Tetap (PR).
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan permohonan dan promosi MM2H adalah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya manakala kelulusan adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri.
"Buat masa ini, tiada sebarang keputusan Kabinet berhubung perkara itu," katanya dipetik The Star malam tadi.
Kenyataan beliau itu susulan dakwaan Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah bahawa permohon MM2H dari kalangan warga China diberikan status PR.
Sebelum itu, perkara tersebut dinafikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan beliau mahu Mas Ermieyati disiasat di bawah Akta Hasutan.
Di bawah semakan semula program MM2H, permohonan kategori Platinum mesti meletakkan deposit tetap sebanyak RM5 juta.
Mereka hanya boleh mengeluarkan separuh daripada deposit tersebut selepas setahun untuk membeli hartanah bernilai minimum RM1.5 juta.
Syarat minimum umur juga telah direndahkan kepada usia 30 tahun bagi membuka peluang kepada lebih ramai warga asing menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.
Permohonan perlu dikemukakan melalui ejen berlesen MM2H yang mempunyai akreditasi di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
Comentários