Kartel daging: PPIM mahu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan berhubung isu kartel daging haram dibungkus semula dan dilabel halal, yang tular dalam seminggu kebelakangan ini.


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tanpa penubuhan RCI maka penyelesaian isu tersebut tidak akan menemui titik penyelesaian.


"Isunya Malaysia adalah negara yang dihormati. Apabila isu pensijilan halal disebut, ketika ini saya terima panggilan atau nota dari kawan-kawan di luar negara bertanya mengapa berlaku hal ini.


"Oleh itu kita mahu RCI diadakan supaya kita dapat jawapan. Kalau tidak, tak ada apa benda. Kita nak perubahan, supaya dapat merubah keadaan," katanya.


Menurut Nadzim, beliau juga mahu kerajaan segera meluluskan Akta Halal yang telah dituntut oleh banyak persatuan pengguna sejak sedekad lalu.


Katanya, tanpa akta seperti itu maka penguatkuasaan sukar dilakukan berhubung isu-isu yang berkaitan status halal.


"Antara masalah terbesar ialah kita tak ada undang-undang (Akta Halal). Kita sebuah negara Islam yang ada berbagai akta yang melibatkan macam-macam benda, tetapi kita tidak ada Akta Halal? Akta ini kita desak sejak lebih 10 tahun. Takkan nak guna Akta Perihal Dagangan, Akta Makanan dan lain-lain sahaja. Kita harus membantu JAKIM untuk menguruskan situasi. Misalnya lori bawa babi kemudian bawa lembu bagaimana ditangani? Guna akta apa?


"Kita perlukan akta jika mahu menjadi negara pelopor sijil halal. Saya merayu kali ini semua pihak desak Akta Halal. Persatuan minta (sekian lama) kerajaan bukan dengar. Kali ini kita sama-sama minta. Akta ini perlu untuk menyelia dan mentadbir selain mempromosi industri halal ini sendiri," katanya.


Di samping itu, Nadzim juga menasihatkan agar pihak kerajaan lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan. Kenyataan separuh masak atau yang tidak jelas, katanya akan menyebabkan pengguna ragu-ragu dan bercambahnya berita tidak benar di media sosial.


"Kita mahu kenyataan dilakukan dengan sebaik mungkin. Kerana apa yang dikeluarkan itu kita khuatir membawa kesan menyebabkan pengguna sama ada mereka percaya 100% atau pun mereka tidak percaya.


"Hari ini pengguna lebih pandai daripada sebelumnya. Mereka juga menilai dengan adanya media sosial. Jadi kenyataan yang dibuat perlulah dapat dipercayai," katanya.


Beliau juga mahu kerajaan memberikan penyelesaian yang tuntas bukannya seperti 'melepas batuk ditangga' dan isu halal akan berulang lagi pada masa hadapan menghadapi kartel daging yang sama.


"Adakah penyelesaian kali ini dengan import lembu hidup? Kita minta 21 syarikat besar diberi penarafan, yang ini ok, yang ini mana dokumen dia? Yg ini tangkap (kalau didapati menipu). Jadi mungkin FAMA juga boleh edar dan semua boleh beli (daging) dengan harga yang tidak terlalu tinggi


"Kita harap kerajaan boleh pantau produk yang masuk, dokumen lengkap atau kabur. Yang lengkap dokumen boleh jual di pasar tani," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER