Kalau UK, Indonesia, Filipina boleh sidang Parlimen dalam talian, kenapa tidak Malaysia?
- Omar Zin
- May 11, 2020
- 1 min read

Keengganan kerajaan Melayu Perikatan Nasional mengadakan sidang Parlimen lebih daripada sehari menimbulkan kehairanan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka takut untuk berdepan dengan rakyat.
Jika benar mereka tidak takut dan tidak cuba untuk mengelak atau menyembunyikan sesuatu, pastinya sidang lebih sehari tidak menjadi masalah.
Kalau benarlah kerajaan enggan melanjutkan sidang Parlimen dengan alasan wabak Covid-19, alasan itu tidak boleh lagi diguna pakai kerana banyak negara luar yang mengadakan sidang secara dalam talian.
Antaranya Kanada, Maldives, Uganda, Scotland, Filipina, Sri Lanka, New Zealand, United Kingdom dan Indonesia.
Speaker Parlimen di Maldives, Mohamed Nasheed memberikan satu pandangan mengapa sidang Parlimen tetap perlu diadakan walaupun berdepan ancaman wabak Covid-19.
"Walaupun rakyat diminta duduk di rumah, ia bukan bermakna demokrasi dikenakan tahanan rumah.
"Khidmat Parlimen terus berjalan tanpa gangguan secara online," katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Oleh itu, jika negara lain boleh mengadakan sidang Parlimen seperti biasa, apa pula alasan kerajaan?
Malah, Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menunjukkan lebih 90 peratus isi rumah mempunyai akses internet sepanjang perintah kawalan pergerakan, dan ini termasuklah rumah-rumah ahli parlimen.
Kerajaan perlu sedar, terlalu banyak perkara yang perlu dibahaskan di Parlimen.
Antaranya isu kekurangan PPE untuk petugas, masalah BPN, isu pengangguran, isu moratorium bank dan penambahbaikan pakej rangsangan ekonomi.
Semua isu di atas adalah penting, jadi apa yang hendak ditakutkan?
Commenti