Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggesa agar dihentikan salahguna kuasa, rasuah dan percaturan politik dalam kalangan elit penguasa harus dipandang serius oleh semua pihak.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Abwar Ibrahim berkata, titah Sultan Nazrin itu juga tidak wajar dilihat hanya dalam konteks situasi politik di Perak, sebaliknya perlu dikaitkan dengan persaingan di peringkat Persekutuan.
"Saya fikir ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di peringkat Persekutuan juga.
"Saya berpandangan reformasi institusi harus segera digerakkan bagi memungkinkan sebuah tatakelola yang baik dan bertanggungjawab serta tidak mengkhianati amanah dan mengabai kepentingan rakyat.
"Kita juga harus dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Tuanku Sultan Perak," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Pakatan Harapan itu turut mengalu-alukan teguran berwibawa Sultan Perak di tengah-tengah kemelut politik berpanjangan serta keghairahan hali-ahli politik berebut kuasa berbanding berkhidmat kepada rakyat.
"Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan, mengembalikan keabsahan dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba," kata Anwar lagi.
Untuk rekod, sebelum ini Sultan Perak kecewa dengan penggantian 3 Menteri Besar dalam tempoh sepenggal di Perak, berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan kemudian kejatutan Menteri Besar Faizal Azumu pada awal bulan ini.
Comments