Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menolak pelaksanaan Undi 18 tahun mulai Julai ini terus dipertikaikan.
Terbaharu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kota Tinggi, Mohd Fakharuddin Moslim berkata, dakwaan Rais Undi 18 tidak dapat dilaksanakan kerana memakan banyak masa dan sumber tidak sewajarnya dikeluarkan kerana tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Perlu diingat bahawa, keputusan Undi 18 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui sokongan majoriti lebih dua pertiga dalam meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, iaitu seramai 211 ahli menyokong, melebihi jumlah yang diperlukan sebanyak 148 orang.
"Dan keputusan ini juga telah diluluskan diperingkat Dewan Negara. Bahkan, Perdana Menteri (PM) waktu ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut menyokong usul Undi 18.
"Dengan kenyataan Rais ini, ia seolah-olah memberi tanggapan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cekap dalam menguruskan proses Undi 18. Kerana SPR sebelum ini telah memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 menjelang Julai 2021," katanya.
Sehubungan itu, Fakharuddin menggesa PM Muhyiddin Yassin menjelaskan pendirian kerajaan beliau terhadap isu Undi 18, sama ada menyokong atau tidak.
Menurut Fakharuddin lagi, isu berkenaan tidak akan berpanjangan sekiranya Parlimen dibuka dan menteri bebas disoal apakah komitmen mereka terhadap Undi 18 berkenaan.
"Oleh yang demikian, kami minta PM Muhyiddin memberi pendirian yang tuntas berkenaan Undi 18 ini, dan bagi memastikan jaminan ke arah proses tersebut, kita minta agar Parlimen dibuka kembali dan wakil rakyat perlu bersidang.
"Undi 18 ini harus disegerakan agar anak muda dapat bersama terlibat dalam menjayakan proses demokrasi di Malaysia," katanya lagi.
Comments