
Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari menyelar pihak yang membuat laporan polis hanya kerana Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri (PM).
Bercakap dalam sesi siaran langsung Facebook malam tadi, mantan profesor undang-undang Universiti Islam Antarabagsa Malaysia itu menasihatkan agar rakyat tidak menambah beban tugas polis dengan membuat laporan bagi hal-hal yang tidak menjadi kesalahan di sisi Perlembagaan.
"Di Malaysia sekarang ada orang suka sangat buat laporan polis macam-macam. Apa salah dia (Datuk Seri Anwar).
"Boleh buat laporan tetapi terpulang kepada polis untuk ambil tindakan atau tidak. Kalau tak ada kesalahan, buang masa saja. Banyak kerja lain polis nak buat. Kita jangan susahkan polis," katanya.
Menyentuh persoalan apakah Akaun Berkanun (SD) sudah cukup membuktikan beralihnya sokongan Ahli Parlimen atau pihak istana memerlukan penyelidikan yang lebih rapi dalam memutuskan calon PM, Dr Aziz berkata, SD mencukupi dan sekiranya Ahli Parlimen yang menandatanganinya melakukan pusingan u maka mereka boleh didakwa menipu.
"Kalau dari segi undang-undang, menipu itu salah. Sepatutnya kalau sudah ada SD, itu betullah. Kalau dia menipu itu, lain daripada apa yang dikatakan, dia boleh didakwa. Tak timbul soal SD palsu atau tidak.
"Kalau orang-orang (yang tandatangan) menafikan, itu kita boleh ambil tindakan.
"Akuan Berkanun maksudnya dia tidak boleh u-turn atau menipu. Dalam SD dia kata, saya sokong Anwar dan kemudian tidak sokong, kita seretlah dia (ke mahkamah). Dan dia pun sebagai Ahli Parlimen (tak kan) tidak tahu apa yang dia tandatangan. Dia bukan buta huruf," katanya.
Sebelum ini, timbul persoalan tempoh yang panjang sejak Datuk Seri Anwar mengumumkan memiliki jumlah sokongan majoriti pada 22 September lalu hingga detik beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong, memungkinkan Ahli Parlimen melakukan pusingan u tanpa mempedulikan SD dan kembali menyokong PM Muhyidin Yassin.
Namun dalam sidang media petang semalam, jelas Anwar menekankan beliau masih memiliki sokongan majoriti melebihi 120 Ahli Parlimen dan cukup untuk mengambilalih kuasa daripada kerajaan Perikatan Nasional.
Commentaires