Isu kewarganegaraan anak: Menteri dari Bersatu konsisten lakukan diskriminasi jantina?



Dua Menteri Dalam Negeri (KDN) yang dilantik dari parti Bersatu bersikap sama sahaja membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu kewarganegaraan dari wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing.


Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, sama ada Menteri KDN tan Sri Mahiaddin Yassin pada era kerajaan Pakatan Harapan mahu pun Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada era Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan PN 2.0, sikap yang sama ditunjukkan.


Katanya, masalah anak dilahirkan di luar negara oleh pasangan wanita Malaysia dan lelaki asing kekal tidak diberikan kewarganegaraan dan tiada penyelesaiannya.


"Masalah anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia dengan lelaki asing dan tidak diberikan kewarganegaraan secara automatik tetap berlaku secara konsisten di bawah bidang kuasa KDN semasa pemerintahan kerajaan PH dan kerajaan PN.


"Dalam hal ini menunjukkan Menteri KDN daripada Bersatu tidak mengira sesiapa pun, tidak mempunyai kehendak politik untuk mengiktiraf warga wanita Malaysia mempunyai hak yang sama seperti warganegara lelaki untuk mewariskan kerakyatan kepada anak-anak mereka.


"Ini merupakan diskriminasi berasaskan jantina yang konsisten," katanya.


Bagi Wanita KEADILAN, kata Ker Chean, kerajaan sebaik-baiknya menerima saranan SUHAKAM dan kumpulan-kumpulan hak asasi untuk melakukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan agar isu tersebut tidak diwariskan kepada generasi akan datang.


"Menteri KDN Bsersatu perlu menerima saranan SUHAKAM dan NGO hak asasi untuk melakukan pindaan Perkara 14 sebagai tindakan jangka panjang yang selari dengan prinsip kesaksamaan gender dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Sementara hal itu dilakukan, PM haruslah mengarahkan Menteri KDN Bersatu membatalkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September lalu dan memulakan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan atau melantik orang lain sebagai Menteri KDN bagi tujuan menghapuskan diskriminasi gender," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA