Isu kesetiaan : Jangan layan pemikiran lapuk rosakkan negara
- Suara Keadilan
- Jan 16, 2024
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan masyarakat India dan Cina dengan menyatakan ia satu bentuk pemikiran lapuk yang boleh merosakkan negara ini.
Perdana Menteri berkata kenyataan tidak bertanggungjawab itu tidak wajar dibuat oleh pemimpin nombor satu yang paling lama mentadbir negara.
"Saya anggap kenyataan ini sangat tidak revelan dan kita bantah sekeras-kerasnya. Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita.
"Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.
Hadir sama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Naib Canselor UPM Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Terdahulu Anwar dalam ucapan perasmiannya membidas sikap sesetengah pemimpin politik yang masih mengekalkan pemikiran lapuk seperti mendakwa orang Melayu malas dan orang India serta Cina di negara ini tidak setia.
Perdana Menteri menyatakan ketika masyarakat dunia menekankan pembaharuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemikiran lama seumpama itu tidak perlu ditinggalkan.
"Kadang-kadang wacana kita riuh rendah soal lain, ada pemimpin sibuk hendak melindungi kesalahan mereka dengan cerca rakyat (seperti mendakwa) orang Melayu malas, India dan Cina tidak taat kepada negara.
"Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara dan saya harap rakyat terutamanya generasi muda jangan layan pemikiran perosak ini kerana kita tumpu untuk mengangkat darjat negara kita," katanya sambil disambut tepukan gemuruh oleh para hadirin.
Anwar berkata kerajaan mempunyai dasar yang jelas agar teknologi AI dilaksanakan dengan cepat selain meneroka pemikiran ilmu baharu agar negara tidak ketinggalan.
"Pada masa sekarang adalah untuk menerapkan nilai yang baik sebagaimana dalam konsep Madani walau bicara soal transisi tenaga dan transformasi digital dan AI kita tidak pernah meninggalkan soal nilai, akhlak dan jati diri," katanya.
Comments