Isu Ekuiti Bumiputera tidak jadi kontroversi jika diurus dengan baik
- Redzuan Shamsudin
- Sep 28, 2021
- 2 min read

Ekuiti Bumiputera terus menjadi mainan politik parti-parti berteraskan Melayu, kononnya parti lawan mahu menghapuskan dasar melindungi kaum Bumiputera.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) menegaskan tidak ada pihak yang akan mempertikai ekuiti Bumiputera sekiranya dasar perlindungan ke atas mereka diurus dengan baik dan tidak mencetuskan skandal kewangan seperti Tabung Haji dan sebagainya.
"Soal Tabung Haji ini kalau Perdana Menteri serius untuk tekankan Bumiputera maka kita urus dengan baik. Seperti juga Bank Islam, Bank Rakyat, Mara, institusi dan GLC kalau diurus dengan begitu baik tak jadi kontroversi sangat.
"Tetapi bila hal ini dikhianati, perbelanjaan untuk pengurusan bermasalah, kita nak perluaskan pun tak boleh kerana tidak dapat buktikan pengurusan itu cekap," katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, Anwar membidas golongan yang mempertahankan ekuiti Bumiputera biarpun betapa teruk penyelewengan berlaku.
Menurutnya kerajaan seharusnya lebih cemderung membantu golongan Bumiputera daif berbanding yang memperolehi kehidupan mewah atau berpeluang menjadi maha kaya
"Ekuiti Bumpitera telah menjadi satu wacana yang kurang sihat. Satu pihak menekankan kehadiran Bumiputera, termasuk mempertahankan kerosakan yang lalu dan satu pihak menafikan, seolah-olah ini akan mengorbankan kepentingan negara.
"Saya rasa perlu ada jalan tengah. Saya rasa tidak ada bumi atau non bumi yang mempertikai peruntukan besar dalam bidang pendidikan, atau kesihatan awam. Bila kita berikan peruntukan besar maka sekolah bandar dan miskin bandar serta pedalaman Sabah Sarawak, ia akan menguntungkan Bumiputera dan tiada ada yang akan pertikai.
"Tetapi masalahnya bila keuntungan itu atas nama kaum dipunggah, seperti mana komisyen atau potongan untuk (kuota) Bumiputera. Saya kata guna peruntukan untuk bina rumah kos rendah walaupun majoritinya Melayu yang dapat. Kita boleh terima.
Tetapi mengapa beri potongan setengah juta kepada Melayu yang kaya. Beli apartment RM5 juta tetapi ada potongan Bumiputera. Ini tidak munasabah. Gunakan kuasa kerajaan membantu golongan kaya.
"Kita gunakan kuasa kerajaan membantu golongan miskin, itu boleh dibenarkan," katanya.
Di samping itu, beliau juga membidas peratusan kek ekonomi yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam yang menyebut saham pegangan nominee menghampiri 12%.
Pegangan nominee, menurut Anwar, adalah saham kelompok elit politik yang kaya raya tetapi tidak mahu nama mereka didedahkan.
"Ekuiti ini bermasalah dengan kehadiran nominee hampir 12%. Nominee itu cara tokoh besar politik maha kaya untuk melindungi nama mereka dengan meletakkan nominee.
"Apakah wajar bagi orang yang ada kepentingan dalam kerajaan, GLC, GLIC, yang membuat keputusan, kemudian mengizinkan nama nominee dan menghilangkan nama mereka dan keluarga. Hal ini harus diteliti," bidasnya lagi.
Commenti