Peristiwa Israk dan Mikraj yang mana Nabi Muhamad s.a.w diangkat ke langit wajar dijadikan pendorong menguatkan keimanan serta mengentalkan semangat juang.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan sempena Israk Mikraj berkata, peristiwa itu yang terjadi ketika Baginda mengharungi tahun kedukaan dengan perginya isteri kesayangan, Khadijah dan bapa saudara Abu Talib, perlu dijadikan panduan hidup.
"Berbekalkan optimisme dan keyakinannya terhadap Allah, kepiluan hati terubat tatkala Baginda dijemput ke Sidratul Muntaha buat menerima amanah baru selaku penutup sekalian Nabi.
"Amanah berupa kewajipan solat lima waktu itu diterima dengan niat melaksanakannya. Ujian terawal buat umat Islam adalah yang menyangkut amanah seringkas solat fardu itu, apakah ia berhasil dilaksanakan sebelum umat tampil untuk mengemban amanah yang lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan.
Menurut Anwar lagi, di samping mengenang keunggulan peristiwa Israk dan Mikraj yang, wajar juga digariskan iktibar penting terkait lunas akhlak dan prinsip hidup yang dipaparkan Baginda semasa perjalanan bersejarahnya merentasi lapisan langit.
"Keyakinan terhadap dasar inilah yang menjadi sumber kekuatan untuk terus berjuang. Dasar yang diangkat mesti menjamin keseimbangan dunia dan akhirat agar tidak berlakunya fasad yang menghilangkan nilai kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Senator Fadhlina Sidek pula berkata, Israk dan Mikraj adalah sebuah perjalanan spiritual dan monumental menandai sebuah pengalaman agung serta sarat dengan peristiwa simbolik.
"Ada beberapa falsafah penting daripada peristiwa ini, yang saya secara peribadi mengungkapkannya sebagai nuansa simbolik yang hanya akan bermakna jika kita beriman denganNya.
"Memperingati Israk Mikraj dan meyakininya adalah lonjakan spiritual yang cukup memaknai hidup seorang Muslim," katanya.
Commenti