
Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi telah menerima sejumlah 82,892 permohonan sehingga 22 Mei 2023.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli (PH - Pandan) dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat ke atas pertanyaan Ahli Parlimen Dr Dzulkifly Ahmad (PH - Kuala Selangor), semalam.
"Sejumlah 82,892 permohonan telah diterima di dalam program ini di mana seramai 33,501 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak untuk dipadankan dengan tiga inisiatif ini iaitu Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
"Seramai 16,135 individu (bersamaan 48%) memohon untuk program INSAN, 10,055 individu (bersamaan 30%) memohon untuk program INTAN dan 7,311 individu memohon untuk program IKHSAN," katanya dalam kenyataan jawapan lisan.
Dalam kenyataan itu, skim INSAN diberitahu mempunyai sejumlah 10 mesin layan diri yang telah ditempatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah. Peserta di bawah program tersebut telah meraih jualan purata antara RM80 hingga RM400 sehari.
Manakala, bagi INTAN pula, projek rintis melibatkan 10 ekar tanah dan diusahakan oleh 40 peserta dan telah dilancarkan pada 21 Mac 2023. Baki 70 ekar akan diusahakan oleh 280 peserta dan akan dimulakan pada bulan Jun 2023.
Bagi IKHSAN pula, inisiatif tersebut telah dilaksanakan secara rintis melibatkan tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan 1 PBT di Pulau Pinang yang melibatkan keseluruhan peserta berjumlah 75 orang.
"Kementerian Ekonomi turut melakukan semak silang dengan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) di bawah ICU, JPM serta data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di bawah Kementerian Kewangan bagi tujuan memastikan hanya pemohon yang mempunyai pendapatan di bawah RM5,000 sahaja layak menyertai program ini.
"Malah, ketua isi rumah (KIR) dalam data eKasih dan iDamak juga akan dilibatkan dalam Program IPR yang bersesuaian mengikut minat KIR terbabit," katanya lagi.