Idea pemimpin-pemimpin Pas yang sangat pelik sepanjang sidang Parlimen yang lalu adalah akibat parti itu kini dipimpin oleh 'orang politik' sepenuhnya.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu misalnya Timbalan Menteri dari Pas mengetengahkan idea merendahkan gaji minimum pekerja di sektor pembinaan bagi menarik majikan menggajikan warga tempatan, dan seorang Ahli Parlimen Pas pula mencadangkan Universiti Malaya dipindahkan ke luar bandar manakala tapak universiti tersebut dibangunkan kerana tanahnya bernilai tinggi.
Bagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, idea pelik-pelik tersebut berlaku kerana Pas dimonopoli oleh orang politik dan bukan lagi pentadbir sebagaimana pada era mantan Presiden Datuk Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang mana perjuangan Pas ketika itu diterima oleh semua kalangan.
"Masa kita dalam Barisan Alternatif (BA) ramai cendiakiawan muslim berduyun duyun menyokong Pas dan BA kerana perjuangan kita jelas, kepimpinan kita juga jelas. Ustaz Fadzil sebagai seorang orator, Nik Aziz seorang pentadbir dan ulama, kombinasi yang cukup mantap.
"Ini menyebabkan kebangkitan luar biasa yang disertai oleh semua golongan sama ada ahli politik, akademik, orang biasa, pegawai kerajaan, tentera, polis.
"Soalnya idealisme itu ada, dan kita dilonjak (sokongan) oleh idealisme. Kita tak ada duit, tak ada harta, tak ada apa-apa (waktu itu)," katanya kepada Suara Keadilan.
Malangnya, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Kedah itu lagi, apabila kedua-dua tokoh berkenaan meninggal dunia, pemimpin yang menggantikan mereka adalah pelajar-pelajar agama yang pulang dari Timur Tengah dan membawa masuk idealogi muslim teokrat dari luar.
Ideologi berkenaan bertentangan dengan kesesuaian politik tanah air.
"Bila kembalinya ke rahmatullah Ustaz Fadzil, seorang orator, seorang pentadbir yang baik yang tidak rasuah dan ulama, maka kepimpinan Pas diambil oleh dua kumpulan.
"Satu orang politik, yang kedua ialah orang yang balik dari luar negara yang tidak ada pengalaman dan pergaluan dengan rakan-rakan tempatan yang memahami konsep reformasi.
"Kebanyakannya dari Timur Tengah, sama ada dari Mesir, Syiria, Jordan, Lebanon. Ini anak muda yang dididik di Timur Tengah tiba-tiba terjun ke dalam Pas. Mereka ini terpisah daripada realiti kebenaran, daripada apa yang berlaku dalam negara kita. Jadi mereka menjaja slogan berpandukan kepada emosi.
"Idealogi politik mereka mungkin diimport dari Timur Tengah dan tiada kaitan dengan persekitaran tempatan. Mereka dipimpin oleh bukan pemimpin tetapi oleh ahli politik. Tok Guru, presiden, timbalan, naib presiden Pas bukan pemimpin sebenar tetapi orang politik.
"Orang politik cara berfikir dan bertindak seperti orang politik, tak kira latar belakang apa. Sama ada sosialis ke, sosial demokrat ke, apa pun disebut, selagi dia orang politik maka perangai, kaedah semua acuan politik: Aku dulu, kumpulan aku dulu, parti aku dulu.
"Jadi terpisah daripada alam realiti sebagai pemimpin yang bila jadi kerajaan, aku, kumpulan aku dan parti aku jadi nombor 2. Sebagai pemimpin rakyat dan negara jadi nombor 1," katanya.
Oleh itu, tambah Johari, rakyat tidak wajar meletakkan pemimpin Pas dalam 'kesucian' biar pun bergelar ustaz dan Tuan Guru, sebaliknya perlu melayan mereka sebagai orang politik.
Sekiranya, amalan politik pemimpin Pas tidak sesuai dengan disiplin politik nilai atau demokrasi maka mereka perlulah ditolak dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
"Terbukti apabila orang politik dapat kuasa kalau mereka tidak dipandu oleh satu idealisme yang betul maka jadilah apa yang berlaku
"Janjilah bulan bintang pun selagi dia dipandu oleh sifat politik, maka akibatnya seperti sekarang
"Dan kita akan berhadapan dengan mereka ini sebagai orang politik. Jadi, dia jangan salah anggap kita akan berurusan kerana faktor agama atau keyakinan akidah.
"Dia orang politik dan rakyat akan memberikan layanan kepada mereka tidak seperti zaman Ust Fadzil dan Nik aziz. Dia bagi layanan politik maka kita juga akan memberikan layanan politik kepada mereka," katanya lagi.
Commenti