Hak waris, mangsa pemandu mabuk wajar dilindungi secara menyeluruh



Kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk wajar diminimumkan dengan cara meminda Akta Pengangkutan 1987.


Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan draf pindaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu bertujuan mengetatkan Akta 333 wajar disokong oleh kedua-dua blok dalam Parlimen.


Selain itu, katanya, Kerajaan PN juga wajar mempertimbangkan cadangan untuk mengambil kira hak mangsa yang dirugikan dan pembelaan ke atas mereka akibat kemalangan.


"Saya menyambut baik inisiatif diambil Kementerian Pengangkutan seperti dijelaskan oleh menteri dalam sesi soalan lisan di Parlimen bagi meneruskan usaha PH sebelum ini untuk meminda Akta Pengangkutan berkenaan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.


"Saya juga ingin mencadangkan supaya Kerajaan dan Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan cadangan untuk mengambil kira hak mangsa yang terkesan terhadap kerugian dan pembelaan akibat kemalangan yang berlaku dalam inisiatif yang akan dilaksanakan.


"Hal ini wajar diberi perhatian kerana melihatkan statistik, setakat Mei lalu, 22 kemalangan jalan raya dengan 9 kematian dan 13 kecederaan membabitkan kes pemandu mabuk. Bagi tahun 2018, 2019 dan separuh pertama 2020, keseluruhan angka kematian 29 orang manakala kecederaan melibatkan 41 mangsa," katanya dalam satu kenyataan.


Syed Ibrahim, dalam pada itu, mencadangkan pindaan akta perlu dibuat bagi memberi kuantum gantirugi yang berpadanan kepada mangsa dan waris yang ditinggalkan memandang undang-undang sedia ada tidak melibatkan gantirugi yang khusus berkenaan kemalangan akibat pemandu mabuk.


"Seperti yang dapat dilihat pada kes kemalangan pada 25 Mei 2020 yang lalu, mangsa Irwan Herwan berumur 41 tahun maut dilanggar pemandu mabuk yang meninggalkan dua orang anak kecil dan isteri, adalah merupakan pencari nafkah bagi keluarga


"Oleh yang demikian, saya mencadangkan Kerajaan dan Kementerian Pengangkutan melihat kepada perkara ini secara teliti agar penetapan kuantum ganti rugi kepada keluarga mangsa ditambah baik memandangkan kuantum sedia ada dilihat tidak menjamin kelangsungan masa depan keluarga atau waris mangsa; mengambil kira kemungkinan kehilangan punca pendapatan keluarga, trauma yang dirasai dan masa depan waris.

"Selain itu, prosedur ganti rugi juga harus ditambah baik agar lebih efektif dan tidak membebankan keluarga atau waris mangsa," katanya lagi.


Kerajaan PN akan membentang dan meluluskan pindaan Akta Pengangkutan bagi mengenakan hukuman lebih keras ke atas pemandu mabuk sebagaimana yang telah digariskan oleh kerajaan Pakatan Harapan terdahulu tetapi tidak sempat dibentangkan akibat 'Langkah Sheraton' dan bertukarnya pemerintah.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio