
Hari Kebangsaan yang bakal disambut oleh semua rakyat seminggu daripada sekarang sewajarnya menjadi perayaan patriotik seluruh rakyat Malaysia.
Bagi Senator Abun Sui Anyit, cadangan ahli politik daripada Perikatan Nasional baru baru ini untuk menggunakan tema dan logo berbeza sambutan hari kemerdekaan untuk negeri negeri yang ditadbir gabungan politik itu amat bertentangan dengan semangat Persekutuan.
Lebih lagi, kata senator mewakili Sarawak itu, selain Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos Hari Malaysia pula akan disambut pada 16 September 2023.
"Saya tidak setuju kalau negeri negeri yang diperintah oleh pembangkang menggunakan logo dan tema berbeza.
"Kita kena sama-sama mematuhi sistem bernegara demokrasi. Kita kena melaksanakan polisi dan arahan yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan termasuk logo dan tema perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, masa untuk berkumpul di bawah logo berbeza adalah pada waktu pilihanraya apabila parti parti politik bersaing untuk mendapatkan mandat rakyat.
Sebaik sahaja pilihanraya selesai, kata Abun Sui, maka hanya satu logo yang perlu digunakan, iaitu yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi perayaan nasional.
"Lebih-lebih lagi Kerajaan Perpaduan sekarang sentiasa ingin bekerjasana dengan semua Kerajaan Negeri termasuk yang diperintah pembangkang.
"Justeru, ahli politik sepatutnya menjadi pemangkin penyatuan bukan pencetus perpecahan antara rakyat dalam negara ini .
"Menggunakan logo yang berbeza bagi saya adalah perbuatan mempolitikan perayaan penting negara dan sengaja ingin merosakkan sistem kenegaraan, iaitu semasa pilihanraya boleh menawarkan manifesto yang berbeza tetapi setelah selesai pilihanraya, hormatilah serta patuhilah kerajaan yang sedang memerintah (government of the day)," katanya lagi.
Tegas Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak itu, seusai pilihanraya merupakan waktu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang telah memberi mandat.
Oleh itu, ujarnya, kerajaan perlu tumpukan hal hal pentadbiran dan bukannya isu simbol, logo atau tema berbeza.