Gabungan Reformis Malaysia (GRM) mencadangkan agar kerajaan menganjurkan Sidang Kemuncak Palestin 2.0 di Kuala Lumpur bagi memperjuangkan masa hadapan negara Palestin.
Koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata, sidang kemuncak tersebut boleh membincangkan hala tuju lebih jelas mengenai gencatan senjata Hamas - Israel yang dicapai dan boleh mengemukakan pelan damai dari negara-negara Islam.
"GRM mencadangkan penganjuran KL Summit 2.0 dalam isu Palestin, terutamanya dengan membabitkan Turki, Pakistan, Qatar, Indonesia dan Iran
"Kami juga mendesak Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan mengutuk kekejaman rejim dan segera ditempatkan tentera pengaman PBB (di kawasan Palestin)," katanya dalam sidang media melalui siaran Facebook.
Selain itu, GRM turut kesal terhadap penglibatan kuasa-kuasa besar yang menyokong Israel secara berterusan menindas hak-hak rakyat Palestin.
Gabungan NGO itu juga mengutuk pencabulan tentera Zionis ke atas Masjid al Aqsa yang berlarutan sepanjang separuh abad.
"GRM amat kesal dengan kuasa besar dunia yang bermain di belakang tabir terhadap kekejaman Israel untuk sekian lama sejak perjanjian Balfour 1917 dan tertubuhnya Israel secara haram pada 15 Mei 1948.
"Kami berpendirian tegas mendokong perjuangan Palestin dengan mendesak sidang tergempar Parlimen Malaysia mengenai Palestin diadakan dalam waktu terdekat bagi menyatakan sokongan terhadap Palestin serta mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman rejim," kata Mustaffa.
Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan mendesak kerajaan Malaysia mengisytiharkan rejim Israel negara pengganas sekaligus menghentikan sebarang hubungan dagang yang masih berlangsung melalui negara ketiga atau secara terus.
GRM turut mendokong semua usaha kerajaan, swasta, NGO, masyarakat madani, individu dan perlabgai pihak dalam usaha membantu rakyat Palestin sama ada memberi makanan, pakaian, perubatan, solat hajat, qunut nazilah, doa dan seumpamanya.
Mustaffa berkata, pendirian GRM tersebut akan dihantar ke pejabat PBB di Malysia. Sekretariat Pertubuhan Negara Islam (OIC), kedutaan Amerika Syarikat, kedutaan asing dan juga kerajaan Malaysia.
Commentaires