Generasi yang hilang merupakan tajuk penting dibahaskan berkaitan sistem pendidikan dan pandemik Covid 19 di negara ini.
Ahli Parlimen Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PH - Pandan) meminta kerajaan Perikatan Nasional memikirkan langkah yang lebih konkrit dalam menyediakan pendidikan kepada generasi anak-anak sekolah yang kehilangan 2 tahun pembelajaran.
"Saya juga ingin sentuh berkaitan dengan the lost generation, dengan izin. Saya memetik tulisan Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, dalam kolum beliau “Rintihan Rakyat” di akhbar Sinar Harian pada 17 Jun 2021 di bawah tajuk “Generasi Covid-19 Yang Tersisih”.
"Kata beliau, “Antara meletak nasi dan lauk diatas meja yang menjadi keutamaan lebih penting kepada jutaan rakyat dengan menyediakan komputer dan internet, saya pasti mereka akan memilih nasi. Yang bercakap tentang ‘quantum leap’ ini perlu sedar bahawa pada hari ini,
ramai antara rakyat kita yang penat memikirkan bagaimana untuk meletakkan makanan di atas meja setiap hari untuk anak-anak mereka.”
"Oleh kerana ibu bapa memilih survival, menyebabkan mereka tidak mampu memberi alat peranti. Anak-anak akan terkesan dari segi pelajaran kerana mempunyai kesusahan untuk belajar secara atas talian. Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah mengeluarkan peratusan purata untuk isi rumah yang mempunyai akses ke komputer dari rumah, iaitu 89%.
"Persoalannya, peratusan di Malaysia berapa? Itu juga belum termasuk bab jaringan atau dengan izin, ‘connectivity’," katanya dalam sesi ucapan bahas Rancangan Malaysia Ke 12 di Dewan Rakyat, petang tadi.
Menurut Dr Wan Azizah, implikasi kepada pembelajaran adalah sangat serius. Banyak anak-anak di Malaysia telah tercicir dan tidak dapat membaca, menulis dan mengira.
Hal itu, katanya pasti akan meninggalkan kesan daripada segi kualiti, produktiviti dan inovasi modal insan serta tenaga buruh di Malaysia pada masa hadapan.
"Kita juga menghadapi isu lost generation and generational scarring, dengan izin. Ini adalah perkara yang penting sebab kita cakap tentang model insan tetapi model insan kita untuk masa depan akan menjadi generasi yang tercalar dan ini akan meninggalkan satu parut pada masa depan mereka," katanya.
Selain itu, Dr Wan Azizah juga sinis mengenai kehilangan bahan kes di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang amat memalukan dan tidak wajar bagi sesebuah agensi penguatkuasaan terjadinya jenayah.
"Di dalam kes terbaharu ini, ada pemimpin menyeleweng duit rakyat, pegawai beliau disyaki mencuri duit itu dan ditangkap, selepas pegawai itu ditangkap, pegawai SPRM pula disyaki mencuri daripada pegawai tersebut dan disyaki melesapkan bahan bukti tersebut. Ini adalah gejala rasuah yang bertingkat-tingkat. Saya tidak tahu sekiranya untuk ketawa atau menangis mengikuti berita ini.
"Agensi-agensi inilah yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasa undang-undang. Apa lagi harapan kita?" tanyanya.
Dr Wan Azizah turut menekankan mengenai perlunya inisiatif-inisiatif dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang semakin semakin menipis berbanding inisiatif-inisiatif yang dirancang dan dilancarkan dalam tahun 2019 dan dimasukkan dalam RMK-12.
"Lebih penting lagi sepatutnya inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) itu harus diterjemahkan menjadi akta agar ada undang-undang khas yang dibentuk dalam tempoh RMK-12 ini," katanya.
Mengenai peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) untuk RMK-12 yang dianggarkan berjumlah RM400 bilion beliau menekankan peningkatan ketara peruntukan berbanding RM248.5 bilion bagi RMK-11.
"Selalu diperkatakan peruntukan ini akan digunakan secara berhemah, tetapi, mengapa berulang kali berlaku kes dalam Laporan Audit Negara.
"Sebagai contoh, berdasarkan Laporan Audit Negara, sebanyak RM 273 juta telah kerajaan peruntukkan untuk sistem baru bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang tidak pernah disiapkan. Menurut laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 – projek sistem uCustoms tersebut
telah dimulakan pada tahun 2013 dan sepatutnya siap pada tahun 2015. Ikutkan sudah melebih 7 tahu 2 bulan dari tempoh ia sepatutnya disiapkan, Itulah reformasi yang diperlukan," katanya lagi.
Tegas Dr Wan Azizah, sumber telah dibazirkan begitu besar dalam tempoh panjang dan negara semakin ketinggalan berbanding negara jiran dari segi pendapatan penduduk, teknologi serta kemajuan.
コメント