Gagal dakwa MP Pasir Salak: Peguam Negara amalkan pendakwaan terpilih?



Pakatan Harapan (PH) meminta Peguam Negara menjelaskan apakah motif beliau tidak mendakwa seorang Ahli Parlimen yang juga pemimpin Umno selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ahli politik itu pada Mei lalu.


Menurut Majlis Presiden PH, pendakwaan terpilih tidak wajar berlaku apatah lagi ketika Malaysia cuba memperbaiki imejnya selepas skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad.


"Majlis Presiden PH meneliti siri tindakan Peguam Negara berhubung isu pendakwaan dan kehakiman baru-baru ini, termasuk kes YB Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang telah ditahan SPRM atas dakwaan salah guna kuasa.


"Namun, seperti yang semua sedia maklum, hingga ke hari ini beliau masih tidak dibawa ke mahkamah. Pada ketika itu, dilaporkan bahawa SPRM menunggu arahan Peguam Negara untuk mendakwa beliau," dakwa mereka.


Menurut Majlis Presiden lagi, kegagalan Peguam Negara mengambil tindakan dalam kes berkenaan selepas 6 bulan berlalu menimbulkan dakwaan bahawa beliau sendiri menyalahgunakan kuasa dengan melakukan pendakwaan berpilih yang bermotif politik.


Kata mereka, pemimpin tersebut yang didakwa bakal menjadi duta Malaysia ke Indonesia perlu mempunyai imej bersih dan tidak mewujudkan persepsi buruk terhadap negara.


"Adakah penghormatan tertinggi diberikan kepada sebuah negara jiran penting apabila Malaysia melantik seorang Duta Besar yang pernah ditahan Kerajaan atas dakwaan salah guna kuasa?


"Kami meneliti isu ini bersekali dengan siri tindakan Peguam Negara, termasuk dalam membatalkan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Mansor dari dakwaan rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.


"Ahli perniagaan tersebut telahpun mengaku bersalah dan didenda kerana memberi sogokan kepada Tengku Adnan. Majlis Presiden amat kesal bahawa sehingga hari ini, Peguam Negara masih belum lagi memberi sebarang penjelasan terhadap tindakan beliau itu," kata mereka.


Justeru, Majlis Presiden menggesa Peguam Negara segera memberi penjelasan mengapa Ahli Parlimen Pasir Salak tidak dihadapkan ke mahkamah. Sekiranya beliau gagal mendakwa pemimpin Umno itu, kata mereka, Peguam Negara tidak layak memegang jawatan penting berkenaan.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibtrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

0 comments