
Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara Asia membentuk kerjasama kukuh bagi mengharungi cabaran semasa.
Dalam ucaptamanya di Forum Nikkei, PM mencadangkan kepimpinan serantau mencari wawasan baharu bagi memantapkan semula era kegemilangan Asia terutama dalam aspek ekonomi dan sosial.
"Kita mesti berdiri bersama, tidak membenarkan kuasa luar mencampuri hala tuju sehingga menganggu kestabilan serantau.
"Persaingan oleh kuasa dunia dalam aspek perdagangan, pelaburan dan teknologi yang semakin meruncing hanya merugikan sebahagian besar negara-negara membangun.
"Kebimbangan ini telah sampai ke ruang sosial negara dan ditambah buruk lagi dengan jurang ekonomi, kepesatan teknologi serta masalah alam sekitar yang akhirnya memberi kesan kepada masa depan kita," katanya dalam ucaptama pembukaan Forum Nikkei, hari ini.
Jelas Anwar, walaupun Kecerdasan Buatan (AI) dan kepesatan teknologi memberi potensi yang besar kepada negara namun ia boleh melebarkan jurang sosial, ekonomi dan digital.
Cabaran itu, katanya, datang pada ketika dunia berhadapan dengan ketegangan geopolitik sekali gus boleh memberi kesan termasuk isu hak asasi kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
"Cabaran-cabaran yang kelihatan tidak dapat diatasi ini mendorong kita untuk mencari gagasan Asia yang baharu.
"Ketika kita dalam keadaan semakin bergelora dari segi ancaman geopolitik dan cabaran ekonomi, maka Asia perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan kita berada dalam landasan yang tepat," ujarnya lagi.
Perdana Menteri hari ini menyampaikan ucaptama pada hari pertama Forum Nikkei ke-29 bertemakan 'Kepimpinan Asia Di Dalam Ketidaktentuan Dunia'.
Beliau kini dalam sesi lawatan kerja ke Tokyo, Jepun selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei 2024 dan bakal bertemu rakan sejawat, Fumio Kishida bagi berbincang isu kepentingan bersama, serantau dan antarabangsa.
Comments