Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan kerajaan Filipina yang masih meneruskan tuntutan untuk mendapatkan negeri Sabah dari kerajaan Malaysia.
Ketua Pembangkang itu menganggap, tindakan kerajaan Filipina menubuhkan semula Hal Ehwal Borneo Utara dibawah Jabatan Luar Negeri dilihat mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah dan dilihat sangat tidak wajar.
"Sabah jelas merupakan sebahagian dari Malaysia. Ini adalah keputusan dan muafakat yang dicapai oleh rakyat Sabah pada tahun 1963. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bersatu padu, dan akan mempertahankan setiap inci wilayah negara ini.
"Saya mendukung pendirian kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedaulatannya di semua badan serantau mahupun antarabangsa," katanya dalam kenyataan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpendapat, Filipina seharusnya menjaga hubungan baik dan kerjasama antara dua negara selaku rakan serantau di Asia Tenggara.
"Malaysia, Filipina dan rakan lain di ASEAN adalah rakan serantau dalam mendepani pelbagai isu melibatkan geopolitik dan keselamatan yang memberi kesan kepada rantau ini dan warganya.
"Usaha dan upaya bersama kita dalam memerangi aktiviti lanun, penculikan, pendatang asing tanpa izin dan terorisme menjadi tunjang utama dalam kerjasama pelbagai hala ini yang akan memanfaatkan rakyat dan ekonomi kita, dan seterusnya untuk segera pulih dari rempuhan wabak COVID-19," katanya.
Anwar juga berpandangan bahawa Filipina tidak sepatutnya mencetuskan krisis geopolitik antarabangsa ketika ini sedangkan rakyat masih bergelut dengan pelbagai isu yang timbul akibat wabak COVID-19.
"Sekarang bukan waktunya untuk politik keangkuhan dan mencipta pertelagahan yang sia-sia.
"Ini adalah masanya untuk kita rangkul segala kekuatan yang ada untuk memampan dampak COVID-19, mendukung jutaan rakyat yang miskin dan terpinggir, dan merencana masa depan yang aman dan sentosa untuk warga Malaysia dan Filipina," katanya.
Untuk rekod, tuntutan Filipina ke atas Sabah bermula pada 1962 pada era Presiden Diosdado Macapagal. Bagaimanapun tuntutan berkenaan tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Persekutuan Malaysia berjaya ditubuhkan pada 1963.
Kemudian pada Februari 2013, berlaku sekali lagi krisis apabila 235 gerila Sulu dari Selatan Filipina mendarat di pantai Sabah dalam usaha menuntut wilayah kesultanan Sulu secara kekerasan. Pertikaian itu berakhir apabila Angkatan Tentara Malaysia menggempur dan mengalahkan mereka sebulan kemudian.
Comments