Dr Zaliha bentang pencapaian 100 hari sebagai Menteri Wilayah
- Suara Keadilan
- Mar 22, 2024
- 2 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang genap 100 hari memegang jawatan itu semalam membentangkan 10 pencapaian dalam membangunkan tiga wilayah - Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang telah berjaya dilakukan sepanjang tempoh singkat itu.
Beliau berkata, komitmen tersebut dizahirkan untuk semua warga Wilayah Persekutuan.
"Semalam genap 100 hari saya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
"Berikut merupakan 10 perkara utama yang saya laksanakan selama 100 hari di Jabatan Wilayah Persekutuan.
"Komitmen ini saya zahirkan untuk semua warga Wilayah Persekutuan," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Zaliha yang sebelum itu Menteri Kesihatan bertukar potfolio sebagai Menteri di Wilayah Persekutuan dalam rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Disember tahun lalu.
Beliau yang berkongsi data pencapaian itu menerusi infografik memaparkan pencapaian memperkenalkan konsep Bandar Chase iaitu singkatan kepada bandar bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam sebagai visi utama bermula tahun ini.
Ia adalah menstrukturkan semula ekonomi, mewujudkan bandar pintar berdaya huni, menyeimbangkan sosio ekonomi warga, memelihara alam sekitar, membudayakan digitalisasi dan melestarikan pelancongan.
"Visi ini bertepatan dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," ujarnya.
Kedua katanya beliau telah memperkenalkan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) bagi menstruktur semula bantuan kerajaan dan program-program di Wilayah Persekutuan melalui pendekatan 'whole of nation' membabitkan 30 agensi.
Berikut lapan lagi pencapaian yang dilaksanakan pasukan Zaliha:
*Pengenalan dasar baharu Wilayah Persekutuan iaitu 1 Komuniti 1 Kebun dan Sisa kepada Kekayaan iaitu memanfaatkan kawasan lapang dan sisa buangan ke arah aktiviti memberikan pendapatan kepada penduduk serta pengekalan pengecualiaan dasar kabotaj di Labuan untuk tingkatkan aktiviti ekonomi di pulau bebas cukai itu.
*Peluncuran Pelan Hala Tuju Bandar Rendah Karbon Putrajaya menjelang 2030.
*Pengenalan Budaya Kerja Harmoni dengan memperkenalkan sesi temu rapat dengan menteri dan aktifkan semula Majlis Menteri Wilayah.
*Rejuvenasi Labuan iaitu memastikan isu infrastruktur asas air dan elektrik diselesaikan sebagai memangkin pulau itu sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan.
*Mengembalikan taman-taman rekreasi kepada matlamat asal dengan inisiatif pertama di Taman Tasik Titiwangsa
*Menangani isu kebanjiran warga asing di ibu kota
*Penguatkuasaan ke akar umbi dalam tangani peniaga dan penjaja tanpa lesen
*Selesaikan isu legasi seperti Kampung Setia Jaya dan gelendangan ibu kota.
Comments